Pemain England bawa ‘parut’ penyingkiran Piala Dunia, kata Tuchel

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIAMI, Amerika Syarikat: Thomas Tuchel berkata bahawa pemain England masih membawa “parut” akibat penyingkiran yang menyakitkan di Piala Dunia, sambil mengakui masih terdapat jurang yang perlu dirapatkan untuk menyaingi pasukan terbaik dunia.

Pengendali England itu menerima kritikan hebat susulan pertukaran pemain yang dianggap terlalu bertahan dalam kekalahan 2-1 kepada Argentina pada separuh akhir di Atlanta, Khamis lalu.

Anthony Gordon meletakkan England di landasan untuk mara ke final Piala Dunia pertama sejak 1966, namun jaringan lewat Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez membolehkan Argentina bangkit meraih kemenangan.

The Three Lions akan menentang Perancis dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Miami pada Sabtu selepas skuad kendalian Didier Deschamps tewas 2-0 kepada juara Eropah, Sepanyol.

Pada sidang media praperlawanan, Tuchel diasak berulang kali mengenai pendekatan taktikalnya ketika menentang Argentina.

“Saya cuba membantu, saya cuba menyokong pasukan,” kata jurulatih dari Jerman itu, yang mengendalikan kejohanan utama pertamanya bersama England.

“Saya membuat keputusan, beberapa keputusan, berdasarkan naluri, intuisi, pengalaman dan semangat daya saing saya. Saya membuat keputusan itu untuk membantu pasukan mendapatkan keputusan yang diinginkan.

“Kami tidak memperoleh keputusan itu, jadi sudah tentu saya memikul tanggungjawab terhadap keputusan tersebut. Namun keputusan itu dibuat dalam keadaan tertekan dan ketika perlawanan sedang berlangsung.”

Tuchel kelihatan sugul ketika menjawab soalan wartawan bersama bekas pertahanan Manchester City, John Stones, sambil mengakui beliau dan pemain-pemainnya paling merasai kepedihan kekalahan itu.

“Kami perlu hidup dengan keadaan ini. Ini adalah kesakitan kami, kesakitan saya dan kesakitan para pemain — kamilah yang paling merasainya.

“Dan inilah parut yang kami bawa sekarang. Ia adalah kekalahan yang amat menyakitkan dan kami perlu menerimanya terlebih dahulu, bukan kritikan, bukan pandangan pakar, malah bukan juga ahli keluarga yang turut bersedih dan hanya mahukan yang terbaik untuk kami. Hakikatnya, kami sendiri yang perlu menanggungnya.”

Bekas pengendali Paris Saint-Germain, Chelsea dan Bayern Munich itu berkata England, yang kini menghuni tangga keempat ranking FIFA, masih perlu menutup jurang untuk mencapai tahap tiga kuasa bola sepak dunia — Argentina, Sepanyol dan Perancis.

Juara bertahan Argentina akan menentang juara Eropah, Sepanyol, pada final Ahad ini di East Rutherford, New Jersey.

“Saya fikir jurang itu wujud kerana kejayaan yang dimiliki Argentina, Perancis dan Sepanyol sebagai pasukan kebangsaan dan juga negara.

“Apa yang mereka bina sejak bertahun-tahun bersama jurulatih dan pasukan masing-masing mewujudkan sedikit jurang yang masih perlu kami rapatkan.

“Saya juga fikir jurang itu dapat dilihat melalui jangkaan di negara-negara tersebut untuk memenangi Piala Dunia dan berada di pentas final.”

Bagaimanapun, Tuchel berjanji England akan bangkit daripada kekecewaan itu.

“Kami akan mengatasinya, kami akan menjadikannya sebagai pengajaran dan kami akan memberikan reaksi. Semuanya bermula esok.

“Kami sedar masih ada jurang yang perlu ditutup dan itulah yang menjadi fokus kami,” katanya. — AFP