Ops Khas HID/LED: 874 kenderaan diperiksa, lima motosikal disita

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA JPJ Sarawak memeriksa kenderaan dalam Ops Khas HID/LED dan Motosikal yang dijalankan di Batu 7, Jalan Penrissen menghala ke Serian. Foto JPJ Sarawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengesan pelbagai kesalahan melibatkan penggunaan lampu HID/LED yang tidak mengikut spesifikasi, lesen memandu serta aspek teknikal kenderaan menerusi Ops Khas HID/LED dan Motosikal di Batu 7, Jalan Penrissen menghala ke Serian, semalam.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 874 kenderaan pelbagai jenis diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta membendung penggunaan kenderaan yang tidak memenuhi spesifikasi keselamatan.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dikesan termasuk penggunaan lampu HID/LED yang diubah suai tanpa mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh serta beberapa kesalahan lain melibatkan aspek teknikal kenderaan.

Selain itu, lima motosikal disita selepas didapati menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh.

Semua kesalahan yang dikesan telah diambil tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Operasi berkenaan turut dipantau Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Sarawak, Fifi Suhesty Asmuni.

JPJ Sarawak dalam kenyataan memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di seluruh negeri, khususnya bagi membanteras kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurut kenyataan itu, penggunaan lampu HID/LED yang diubah suai tanpa mematuhi spesifikasi, selain kegagalan memiliki lesen memandu yang sah serta memperbaharui LKM dan perlindungan insurans merupakan kesalahan serius yang tidak akan dikompromi.