
SARIKEI: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei berjaya menumpaskan kegiatan ‘keldai akaun’ dengan penahanan dua lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam dua kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian keseluruhan RM85,843.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan pada 15 dan 16 Julai lalu hasil siasatan yang dijalankan oleh BSJK IPD Sarikei.
Katanya, suspek pertama yang ditahan pada 15 Julai dipercayai berperanan sebagai ‘keldai akaun’ dalam kes penipuan urusan jual beli batu jed secara dalam talian melalui aplikasi Facebook.
“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM6,393 dan satu laporan polis berhubung kejadian telah dibuat di IPD Sarikei.
“Suspek kedua pula ditahan pada 16 Julai dan dipercayai berperanan sebagai ‘keldai akaun’ dalam kes penipuan pelaburan tidak wujud TJG Gold Machine melalui aplikasi Telegram yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM79,450.
“Laporan polis berhubung kejadian tersebut turut dibuat di IPD Sarikei,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Aswandy menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyerahkan atau membenarkan penggunaan akaun bank, kad ATM, nombor TAC, kata laluan perbankan atau apa-apa instrumen kewangan kepada mana-mana individu.
“Perbuatan tersebut boleh disalahgunakan bagi tujuan jenayah penipuan dan menjadikan pemilik akaun sebagai ‘keldai akaun’, seterusnya berdepan tindakan undang-undang.
“Mana-mana individu yang didapati terlibat atau berperanan sebagai ‘keldai akaun’ boleh disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 424C Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM150,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah komersial dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penipuan dan penyalahgunaan akaun bank.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan nombor telefon dan akaun bank terlebih dahulu melalui Semakan Scammer CCID atau laman sesawang Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mengikuti laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Amaran Jenayah Siber PDRM dan JSJK Sarawak bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi sindiket penipuan.
“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan juga diminta supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan membuat laporan polis dengan kadar segera bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” katanya.
Oleh Earl Anek



