MUKAH: Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan di hadapan sebuah pondok di kebun sawit Jalan Bayan Ulu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan sekitar 2.30 petang pada 17 Julai itu, dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat yang diterima.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek pertama berusia 44 tahun menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat anggaran 0.41 gram.

“Pemeriksaan terhadap suspek kedua berusia 30 tahun tidak menemukan sebarang barang salah. Kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Katanya, suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan.
“Suspek kedua pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek pertama yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah direman selama empat hari sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan,” ujarnya lagi.
Katanya, suspek kedua yang bekerja sebagai pemandu jentera berat dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan.
Muhamad Rizal berkata, IPD Mukah komited membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman





