Konvoi Semarak Kemerdekaan meriahkan sambutan Hari Sarawak di Bahagian Sarikei

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
RAZALI Jidi ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.

SARIKEI: Program Semarak Kemerdekaan terus menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan Sarawak apabila seramai 70 peserta menyertai Konvoi Bermotosikal Semarak Kemerdekaan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sarikei, hari ini.

Wakil UKAS Bahagian Sarikei, Razali Jidi berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada siri Program Semarak Kemerdekaan yang dianjurkan di seluruh bahagian di Sarawak bagi menghayati semangat Hari Sarawak dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Sebentar tadi kita telah menganjurkan Program Semarak Kemerdekaan UKAS Bahagian Sarikei.

“Program seperti ini dianjurkan di seluruh bahagian di Sarawak. Di Sarikei, ini merupakan lokasi keenam penganjurannya.

“Bagi edisi kali ini, kita mengisinya dengan aktiviti konvoi bermotosikal dari Sarikei ke Bintangor,” katanya.

Razali berkata demikian selepas pelepasan konvoi yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Katanya, penyertaan seramai 70 peserta mencerminkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat terhadap program yang bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Sarawak, malah menjadi wadah memupuk semangat kebersamaan dan cintakan negeri.

“Konvoi akan tiba di pekan Bintangor dan akan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

“Seterusnya, konvoi akan bergerak di sekitar Bintangor,” katanya.

Beliau berharap Program Semarak Kemerdekaan akan terus mendapat sokongan masyarakat pada masa akan datang, sekali gus menjadi medium berkesan untuk memupuk semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan dan menyemarakkan rasa bangga sebagai rakyat Sarawak.

Oleh Earl Anek