
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Sepanyol dan Argentina sedang membuat persiapan terakhir menjelang aksi final Piala Dunia di New Jersey pada awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia), ketika penganjur memaklumkan mereka sedang memantau dengan teliti keadaan jerebu akibat kebakaran hutan di Kanada.
Argentina yang diketuai Lionel Messi memburu sejarah untuk muncul negara pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan kejuaraan Piala Dunia, manakala Sepanyol berhasrat merangkul gelaran kedua selepas kejayaan sulung pada 2010.
Penganjur berkata mereka sedang “memantau dengan teliti” asap daripada kebakaran hutan yang menyelubungi ruang udara di beberapa kawasan di Amerika Syarikat.
“Perkara ini telah dibincangkan dan kami mempunyai wakil daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan yang berada di ibu pejabat FIFA, jadi kami sedang memantau keadaan dengan rapi,” kata Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Piala Dunia Rumah Putih, Andrew Giuliani.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka menjadi antara lebih 80,000 penonton yang menyaksikan kemuncak Piala Dunia terbesar dalam sejarah di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey.
Final itu merupakan satu-satunya perlawanan kejohanan yang akan dihadiri Trump.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum turut mengesahkan kehadirannya selepas menerima jemputan daripada Presiden Amerika Syarikat itu.
Pada Jumaat, Trump memuji Piala Dunia 2026 yang turut dianjurkan bersama Mexico dan Kanada sebagai “acara sukan paling berjaya, mungkin dalam sejarah dunia” ketika menghadiri majlis bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino di New York.
Pertembungan fizikal
Kapten Sepanyol, Rodri berkata beliau menjangkakan aksi yang penuh cabaran fizikal menentang Argentina dan bertekad untuk tidak melayan sebarang kemungkinan provokasi daripada lawan.
Pemenang Ballon d’Or 2024 itu berkata, final kali ini bakal berbeza daripada mana-mana perlawanan yang pernah diharungi juara Eropah tersebut.
“Saya fikir perlawanan Ahad ini akan sangat berbeza,” kata pemain Manchester City itu.
“Ia akan menjadi perlawanan yang lebih fizikal dan kami perlu bersedia. Namun jika ada satu perkara yang menjadi identiti pasukan ini, ia adalah keupayaan kami menyesuaikan diri mengikut situasi permainan.
“Kami mampu bertahan, melakukan serangan balas atau menyerang. Kami adalah pasukan yang lengkap dan itulah sebabnya kami berada di sini.”
Apabila ditanya sama ada beliau menjangkakan Argentina akan menggunakan taktik provokasi, Rodri menjawab: “Itu memang sebahagian daripada bola sepak.”
Sementara itu, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menggesa penyokong menghargai peluang menyaksikan Messi mengetuai pasukan dalam satu lagi final Piala Dunia pada usia 39 tahun.
“Beliau telah mencipta sejarah. Beliau ialah seorang legenda,” kata Scaloni mengenai bekas pemain Barcelona itu yang membantu Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar pada 2022.
Penentuan tempat ketiga
England tiba di Miami bagi menghadapi Perancis pada Sabtu dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang menemukan dua pasukan tewas di separuh akhir.
Jurulatih England, Thomas Tuchel mengakui kekalahan 2-1 kepada Argentina pada separuh akhir amat menyakitkan.
“Kami perlu menerima hakikat ini. Ia adalah kesakitan kami, kesakitan saya dan para pemain. Kami yang paling merasainya.
“Ini adalah luka yang perlu kami bawa bersama. Kekalahan ini amat perit dan kami perlu menerimanya terlebih dahulu, bukannya memikirkan kritikan, pandangan pakar atau ahli keluarga yang turut bersedih bersama kami dan hanya mahukan yang terbaik untuk kami,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih Perancis, Didier Deschamps berjanji tidak akan menitiskan air mata menjelang perlawanan terakhirnya mengendalikan Les Bleus di pentas Piala Dunia.
“Saya tahu tirai akan dilabuhkan esok.
“Tiada siapa di sini akan menangis, tetapi saya tahu saya akan merindui pasukan Perancis. Selama 15 tahun sejak dilantik pada 2012, saya berpeluang menikmati detik-detik yang indah dan juga saat-saat yang sukar,” katanya.
Perancis yang dianggap antara pilihan utama untuk muncul juara Piala Dunia buat kali ketiga tersingkir selepas tewas 2-0 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir. — AFP





