PETRA JAYA: Semua kementerian, jabatan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak kini dikehendaki menjadikan AirBorneo sebagai pilihan utama bagi semua perjalanan rasmi menerusi penguatkuasaan Surat Pekeliling No. 6/2026 yang dikeluarkan kerajaan Sarawak, berkuat kuasa semalam.
Surat pekeliling yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki itu menetapkan penggunaan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan rasmi Perkhidmatan Awam Sarawak selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuhkan syarikat penerbangan milik penuhnya.
Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja bertujuan memperkasakan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak, malah menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri melalui peningkatan kesalinghubungan udara.



“Sokongan ini bukan sahaja memperkukuhkan pembangunan industri penerbangan negeri malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan memperkukuhkan pembangunan modal insan Sarawak,”katanya menerusi surat pekeliling berkenaan.
Beliau berkata, pelaksanaan pekeliling itu turut mengambil kira keperluan operasi jabatan dengan menyediakan fleksibiliti yang munasabah bagi memastikan urusan rasmi kerajaan tidak terjejas.
“Pada masa yang sama, Surat Pekeliling ini juga memberi fleksibiliti yang munasabah bagi memastikan kelancaran urusan rasmi tanpa menjejaskan prinsip tadbir urus dan pengurusan kewangan yang berhemat,”katanya.
Kerajaan Sarawak melalui AirBorneo Holdings Sdn. Bhd. telah mengambil alih MASwings Sdn. Bhd. pada 1 Januari 2026, sekali gus menjadikan AirBorneo syarikat penerbangan milik penuh kerajaan negeri.
Ketika ini, AirBorneo mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) ke 21 destinasi di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings.
Syarikat penerbangan itu juga bakal memulakan operasi penerbangan komersial menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia menerusi laluan Kuching-Kuala Lumpur-Kuching bermula 20 Julai ini dengan menawarkan dua penerbangan setiap hari.
Sehubungan itu, semua ketua jabatan diarahkan memastikan AirBorneo dijadikan pilihan utama bagi setiap perjalanan rasmi yang melibatkan pegawai dan kakitangan di bawah seliaan masing-masing.
Bagaimanapun, penggunaan syarikat penerbangan selain AirBorneo masih dibenarkan dalam keadaan tertentu yang telah ditetapkan menerusi pekeliling tersebut.
Antara pengecualian ialah sekiranya semua penerbangan AirBorneo ke destinasi berkenaan telah penuh ditempah, yang perlu dibuktikan melalui pengesahan bertulis atau cetakan skrin daripada sistem tempahan rasmi syarikat penerbangan itu.
Selain itu, syarikat penerbangan lain boleh digunakan sekiranya tiada penerbangan AirBorneo dalam tempoh 12 jam sebelum atau selepas waktu perjalanan yang diperlukan sehingga boleh menyebabkan kelewatan menghadiri mesyuarat, majlis rasmi atau program kerajaan.
Pengecualian turut diberikan sekiranya jadual penerbangan AirBorneo menyebabkan pegawai perlu bermalam secara tidak dirancang, sekali gus meningkatkan kos penginapan, elaun harian atau tuntutan perjalanan kerajaan.
Dalam situasi kecemasan seperti bencana alam, krisis kesihatan awam, tugasan berkaitan keselamatan atau keadaan lain yang memerlukan tindakan segera, penggunaan syarikat penerbangan lain turut dibenarkan sekiranya AirBorneo tidak dapat memenuhi keperluan masa tersebut.
Selain itu, pengecualian juga terpakai sekiranya destinasi yang ingin dituju belum berada dalam rangkaian penerbangan AirBorneo.
Bagaimanapun, setiap penggunaan syarikat penerbangan selain AirBorneo hendaklah disokong dengan justifikasi serta dokumen berkaitan dan mendapat kelulusan rasmi Pegawai Pengawal atau Ketua Jabatan masing-masing.
Pekeliling itu turut mengingatkan semua tempahan perjalanan rasmi hendaklah dibuat berdasarkan prinsip perbelanjaan berhemah bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan terus cekap dan berintegriti.
Surat Pekeliling No. 6/2026 berkuat kuasa mulai semalam.
Pelaksanaan pekeliling itu turut disahkan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)), Datuk Abdullah Saidol, ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
“Pekeliling betul dan sahih,” katanya ringkas.




