
KUALA LUMPUR: Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) meluluskan lima sukan tambahan pada Sukan SEA 2027, menjadikan jumlah keseluruhan 43 sukan.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (OCM) Datuk Mohd Nasir Ali berkata lima jenis sukan yang diluluskan Majlis SEAGF ialah sukan tarian, hoki ais, kabadi, padel dan teqball.
Beliau berkata kelulusan itu dibuat susulan penerimaan 30 rayuan daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara anggota untuk memasukkan sukan tambahan selepas 38 sukan diluluskan pada April lepas.
“Majlis SEAGF baru sahaja meluluskan cadangan ini dan kami mengesahkan bahawa tiada lagi rayuan atau penambahan terhadap program sukan bagi Sukan SEA 2027.
“Jumlah akhir ialah 43 jenis sukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis SEAGF di sebuah hotel di sini hari ini.
Beliau berkata MASOC dijangka mengumumkan senarai penuh disiplin dan acara pingat menjelang September tahun ini, selaras dengan Piagam dan Peraturan Sukan SEA.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata keputusan majlis itu secara rasmi memuktamadkan program sukan bagi temasya dwitahunan berkenaan, dengan tiada lagi penambahan boleh dibuat melainkan satu lagi mesyuarat Majlis SEAGF diadakan.
“Perkara utama ialah jumlah sukan yang ditambah hanya lima dan itu adalah muktamad kerana jika mahu ditambah lagi, kita perlu mengadakan satu lagi mesyuarat. Jadi mesyuarat ini adalah mesyuarat terakhir bagi SEAGF meluluskan jumlah sukan yang sekarang jumlahnya menjadi 43,” katanya.
Rashid berkata MASOC masih mengenal pasti venue yang sesuai bagi lima sukan baharu berkenaan dengan venue bagi 38 sukan yang dipersetujui sebelum ini telah dimuktamadkan.
Beliau berkata perbincangan sedang dijalankan dengan Sarawak dan Pulau Pinang untuk menganjurkan beberapa acara sukan tambahan, namun kebanyakannya dijangka berlangsung di Kuala Lumpur. – Bernama



