DARO: Kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan sebuah masjid baharu di kawasan Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang melibatkan Kampung Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pangtray sebagai usaha memperkukuh kemudahan untuk penduduk setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut mengumumkan kelulusan pembinaan laluan penghubung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Lassa bagi melengkapkan rangkaian jalan di kawasan berkenaan.
Kelulusan itu diumumkan ketika beliau berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat sempena Pesta Daro di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pembinaan jalan menuju ke SK Batang Lassa merupakan antara keutamaan kawasan itu kerana laluan berkenaan bukan sahaja menghubungkan beberapa rumah panjang, malah memudahkan akses ke sekolah baharu yang sedang dibina.
Menurut beliau, projek itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk apabila siap kelak, sekali gus melengkapkan jaringan jalan luar bandar dan meningkatkan hubungan antara penempatan di kawasan tersebut.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut berseloroh mengenai permohonan pembangunan yang sering dikemukakan oleh Dr Safiee sebelum memaklumkan bahawa permohonan berkenaan telah diluluskan.
“YB anda selalu datang ke pejabat saya. Kerja kuat dia. YB anda. Dia buat surat. ‘lulus je lah, lulus, lulus, lulus’. Okay lah awak, yang dimintak awak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada keperluan rakyat di kawasan luar bandar melalui pelaksanaan projek infrastruktur dan kemudahan awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup serta merancakkan pembangunan setempat.
Oleh Afiq Sallehi



