Tuchel akui pendekatan England perlu diubah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ATLANTA, Georgia: Ketua jurulatih England Thomas Tuchel mengakui pendekatan bola sepak pasukannya perlu diubah jika mahu menjuarai kejohanan utama, sambil menegaskan beliau kekal komited sepenuhnya untuk terus membimbing skuad itu, lapor PA Media/dpa.

Impian England untuk mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966 sekali lagi berakhir dengan kekecewaan apabila tewas kepada Argentina pada peringkat separuh akhir.

England berada di ambang untuk melangkah ke final selepas gol Anthony Gordon pada minit ke-55 meletakkan mereka di hadapan di Atlanta. Namun, pasukan itu mula bermain secara pasif sehingga memberi ruang kepada Argentina menguasai rentak permainan sebelum tewas 2-1 hasil jaringan lewat Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez.

THOMAS Tuchel, Pengurus England, bereaksi semasa perlawanan Separuh Akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara England dan Argentina di Stadium Atlanta pada 15 Julai 2026 di Atlanta, Georgia. Foto AFP

Ini merupakan kali ketiga dalam tempoh lapan tahun England gagal mempertahankan kelebihan selepas mendahului dalam perlawanan penting peringkat kalah mati.

Dua kejadian sebelum ini berlaku pada separuh akhir Piala Dunia 2018 menentang Croatia dan final Euro 2020 bertemu Itali, selain gagal memanfaatkan gol penyamaan ketika tewas kepada Sepanyol pada final Euro 2024.

Tuchel, yang menggantikan Sir Gareth Southgate dengan misi jelas untuk membawa England menjulang kejuaraan utama, turut mengakui tanggungjawabnya dalam kekalahan itu selepas membuat beberapa pertukaran pemain yang berunsur pertahanan lebih awal.

Ketika ditanya sama ada mentaliti bola sepak England boleh diubah, beliau berkata: “Jika perkara itu benar-benar berlaku, maka ia perlu diubah.

“Namun, saya tidak pasti. Saya sentiasa cuba melihat perkara ini daripada sudut bola sepak.

“Saya belum melihat data lagi, tetapi saya fikir sebaik sahaja kami menjaringkan gol, momentum permainan berubah sepenuhnya daripada segi penguasaan bola dan peluang, sebelum prestasi kami merosot dengan ketara.

“Kami menjadi terlalu pasif dalam struktur permainan. Saya cuba membantu pasukan, bukan dengan menjadikan kami lebih bertahan menerusi formasi lima pertahanan, tetapi supaya kami lebih agresif, lebih pantas menutup pergerakan pemain sayap lawan dan tidak membuka ruang di antara barisan pertahanan.

“Kami menggalakkan semua pemain supaya lebih berani keluar memberi tekanan dan bermain lebih aktif dalam struktur pasukan, tetapi kami bergelut untuk melaksanakannya.

“Kami tidak lagi mampu memenangi perebutan bola, menyebabkan kami semakin banyak berundur ke kawasan sendiri. Itu bukan rancangan kami, tetapi itulah yang berlaku.

“Kami perlu kembali menguasai bola kerana tanpa penguasaan bola, mustahil untuk mematahkan tekanan lawan dan mendapatkan semula momentum permainan.

“Saya fikir penguasaan bola memainkan peranan yang amat penting. Mungkin ia bukan sebahagian daripada DNA bola sepak kami seperti yang dimiliki Sepanyol, Argentina atau Brazil, yang gemar menguasai bola dan mengawal permainan. Itu juga merupakan satu masalah besar.

Tuchel menerima kritikan hebat susulan kekalahan England, terutama selepas mengeluarkan penjaring gol Gordon dan memasukkan pemain pertahanan Ezri Konsa pada pertengahan babak kedua.

Jurulatih dari Jerman itu, yang menandatangani kontrak hingga 2028 menjelang kejohanan ini, bagaimanapun terus mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak England (FA) dan sekali lagi menegaskan hasratnya untuk membimbing England menghadapi Kejohanan Eropah di laman sendiri.

“Ya, 100 peratus. Masih banyak perkara yang boleh diperbaiki dan saya amat gembira untuk melakukannya.

“Saya benar-benar menikmati tugas ini. Saya menikmati setiap hari. Selepas perlawanan menentang Norway, saya pernah berkata saya melihat terdapat jurang antara apa yang saya lihat semasa latihan dengan apa yang dipamerkan dalam perlawanan. Dari sudut bola sepak, saya fikir kami mampu menguasai permainan dengan lebih baik menerusi penguasaan bola.

“Saya masih percaya kami mampu mempamerkan kualiti sebenar sebagai pemain bola sepak. Saya melihatnya setiap kali sesi latihan dan setiap kali kem latihan diadakan.

“Begitu juga sepanjang Piala Dunia ini. Saya masih merasakan kami mempunyai satu lagi tahap yang perlu dicapai dan kami perlu meningkatkan prestasi ke tahap seterusnya untuk memenangi kejuaraan utama.” – Bernama