AI bukan pengganti kreativiti, karya janaan boleh dikenal pasti – Ajai

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KETUA Juri Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25), Mohd Faizal Maas atau Ajai, pada sidang media AIM25 di Kuala Lumpur, semalam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penciptaan lagu tidak seharusnya menggantikan kreativiti asli manusia, walaupun ia diakui sebagai alat sokongan yang berguna dalam industri muzik masa kini.

Penyanyi dan komposer, Mohd Faizal Maas atau Ajai, 51, berkata karya yang dihasilkan sepenuhnya oleh AI masih boleh dikenal pasti menerusi ciri-ciri tertentu pada susunan muzik dan bunyi digital yang dihasilkan.

“Tidak salah menggunakan AI untuk membetulkan sesuatu perkara, tetapi bukan untuk merakamkan (mencipta) keseluruhan karya. Apabila AI menghasilkan semua keseluruhan karya, itu sudah berbeza.

“AI sebenarnya menggunakan data karya manusia yang telah dirakam sebelum ini. Apabila dimasukkan lirik, ia boleh menghasilkan melodi berdasarkan rujukan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis sidang media Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) di sini semalam. 

Ajai yang juga Ketua Juri AIM25 menjelaskan, pakar atau pendengar berpengalaman boleh mengesan elemen muzik yang dijana AI berdasarkan kualiti bunyi digitalnya.

AJAI bercakap pada sidang media AIM25 di Kuala Lumpur, semalam. Foto BERNAMA

“Kita boleh dengar dari segi muzik yang dimainkan dan susunan muzik yang dikeluarkan AI. Sebagaimana kita boleh mengenal pasti penggunaan autotune (autotala), kita juga boleh mengkaji penggunaan AI,” katanya.

Menurut Ajai penggunaan teknologi seperti autotune juga tidak menjadi kesalahan sekiranya digunakan untuk memperkemas vokal, namun penggunaannya perlu dikawal agar tidak mengubah kemampuan sebenar seseorang penyanyi.

Beliau turut menarik perhatian mengenai cabaran hak cipta memandangkan teknologi itu menggunakan pangkalan data daripada karya manusia yang telah sedia ada, sehingga mencetuskan pelbagai tindakan undang-undang terhadap platform AI di luar negara.

Dalam perkembangan lain, Ajai berkata landskap muzik tempatan kini semakin matang dengan kepelbagaian genre termasuk hip hop, irama etnik dan karya dalam dialek tempatan.

Sehubungan dengan itu, beliau menyifatkan langkah AIM25 memperkenalkan kategori Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik sebagai selari dengan perkembangan industri yang semakin inklusif.

“Lagu rakyat semakin meningkat dan orang kita boleh menerima lagu dengan bahasa-bahasa seperti dialek Kelantan. Jadi kenapa kita lupakan Borneo? Sedangkan kita tahu lagu-lagu Borneo memang popular di Malaysia serta banyak daripadanya boleh menjadi warisan negara,” katanya. – Bernama