
DARO: Impian memiliki rumah sendiri kini lebih dekat apabila kerajaan Sarawak memperkenalkan pendekatan baharu pembangunan perumahan luar bandar yang membolehkan pembeli memiliki kediaman dengan bayaran ansuran bulanan sekitar RM200 hingga RM250 sahaja.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata inisiatif itu bertujuan memudahkan rakyat, khususnya anak-anak Daro yang bekerja di luar kawasan, memiliki kediaman sendiri di kampung halaman tanpa dibebankan kos tinggi.
Katanya, pembangunan rangkaian jalan raya termasuk Jambatan Batang Lassa yang menghubungkan Daro dengan Sibu dan kawasan lain telah meningkatkan permintaan terhadap perumahan di daerah berkenaan.
“Ramai anak Daro bekerja di luar tetapi mahu membeli rumah di kampung. Sebab itu kita menyediakan rumah mampu milik dengan konsep baharu yang lebih memudahkan rakyat,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Tapak Skim Penempatan Kampung (SPK) Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pangtray Fasa 1, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata projek berkenaan melibatkan pembangunan 131 lot kediaman di bawah Skim Penempatan Kampung (SPK), dengan 59 unit rumah dibina pada fasa pertama sebelum diperluaskan secara berperingkat mengikut permintaan.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan peruntukan melebihi RM20 juta bagi membangunkan projek tersebut.
Abang Johari berkata nilai sebenar sebuah rumah bersama tanah dan infrastruktur mencecah kira-kira RM300,000, namun pembeli hanya perlu membayar RM150,000 kerana kos tanah serta penyediaan kemudahan asas ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kerajaan juga membayar deposit RM10,000. Jadi pembeli hanya perlu membiayai baki RM140,000 melalui Mutiara Mortgage & Finance pada kadar keuntungan satu peratus.
“Bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM200 hingga RM250 sahaja, tetapi rumah itu menjadi milik pembeli sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata reka bentuk rumah tersebut turut disediakan bagi membolehkan pemilik melakukan pengubahsuaian pada masa depan, termasuk menaik taraf kepada rumah dua tingkat menggunakan reka bentuk yang telah diluluskan.
Katanya, pendekatan baharu itu berbeza dengan konsep tapak dan perkhidmatan yang hanya menyediakan lot tanah tanpa rumah, sekali gus menyukarkan golongan berpendapatan rendah membina kediaman sendiri.
“Dulu kita beri lot sahaja. Orang ada tanah tetapi tidak mampu membina rumah kerana tiada modal permulaan. Sekarang rumah sudah siap dibina, rakyat hanya perlu masuk dan mendudukinya,” katanya.
Beliau berkata model sama akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Mukah (Kampung Tellian), Semop dan Matu, selain menambah jumlah unit di Daro mengikut permintaan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembeli turut diberi pilihan memasang sistem solar di bumbung rumah dengan subsidi kerajaan sebanyak 50 peratus, sekali gus membolehkan lebihan tenaga yang dijana dijual kepada Sarawak Energy sebagai kredit bil elektrik.





