
LAWAS: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas menjadi lokasi lawatan pemeriksaan Bantuan Intensif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2026 hingga 2028 untuk menilai tahap kesukaran penugasan serta keperluan anggota di Pondok Polis Ba’kelalan dan Pondok Polis Long Semadoh.
Lawatan itu diketuai Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, bersama delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM Bukit Aman dan Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Pondok Polis Ba’kelalan, Lawas.


LAWATAN… Datuk Mohamad Zainal Abdullah, bersama delegasi meninjau keadaan serta kebajikan anggota yang bertugas di Pondok Polis Ba’kelalan, Lawas.
Program berkenaan bertujuan menilai tahap kesukaran penugasan serta keperluan anggota yang berkhidmat di Pondok Polis Ba’kelalan dan Pondok Polis Long Semadoh
Selain itu, turut diadakan sesi taklimat, dialog serta lawatan ke Pos Kawalan Sempadan Imigresen Ba’kelalan.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan dalam satu kenyataan hari ini memberitahu lawatan ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan kebajikan anggota yang bertugas di kawasan pedalaman demi memastikan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.
Pesuruhjaya Polis Sarawak dan delegasi telah meninjau sendiri kebajikan petugas di Ba’kelalan dan Long Semadoh disamping mendapatkan maklumat terkini keadaan di Ba’kelalan dan Long Semadoh.
Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan, IPK Sarawak SAC Zulkifli Suhaili, Penghulu Yudan Meru dan pegawai tinggi PDRM IPK Sarawak, Bukit Aman, Kementerian Dalam Negeri dan Pengerusi PERKEP Lawas Jurawati Bunsu.
Oleh Adeng Edrus



