Borneo Tuak Festival platform perkasa warisan, usahawan tempatan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Borneo Tuak Festival 2026 bukan sekadar meraikan minuman tradisional masyarakat Dayak, malah menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya di samping membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.

Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, bagi masyarakat Dayak, tuak merupakan sebahagian daripada identiti, sejarah dan warisan yang menghubungkan generasi masa kini dengan nenek moyang mereka.

Menurut beliau, festival tahun ini menghimpunkan 80 vendor, lebih 30 jenama tuak dan lebih 100 variasi minuman tradisional itu di bawah satu bumbung, sekali gus membuktikan industri berkenaan terus berkembang.

 AMANAT…Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan ketika berucap ketika merasmikan Borneo Tuak Festival 2026 di Ridgeway, hari ini. Foto: Norman B

Katanya, ilmu menghasilkan tuak bukan sekadar dipelajari melalui pembacaan, sebaliknya diwariskan menerusi pemerhatian, pengalaman dan amalan turun-temurun, menjadikannya satu khazanah budaya yang perlu dipelihara.

“Tradisi hanya akan terus hidup apabila diamalkan, diminati oleh generasi muda dan mampu menjana pendapatan kepada mereka yang mewarisinya.

 TIMBALAN Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan melawat reruai sempena Borneo Tuak Festival 2026 di Ridgeway, Kuching, hari ini. Foto: Norman B

“Festival ini menjadi jambatan yang menghubungkan generasi tua dan muda, masyarakat luar bandar dengan bandar serta warisan budaya dengan peluang ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Borneo Tuak Festival 2026 di Ridgeway, di sini, hari ini.

Beliau turut memuji kesungguhan para pengusaha yang datang dari pelbagai bahagian di Sarawak untuk menyertai festival tersebut, termasuk pengusaha dari Bintulu dan Kuala Lumpur yang berjaya membawa produk tempatan ke pasaran lebih luas.

Menurutnya, kejayaan peserta festival terdahulu yang mampu memperoleh jualan melebihi RM7,000 dalam tempoh satu hujung minggu membuktikan industri tuak mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai perusahaan mampan.

 TIMBALAN Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan melawat reruai sempena Borneo Tuak Festival 2026 di Ridgeway, Kuching, hari ini. Foto: Norman B

Beliau berkata, resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun kini mampu menjadi sumber pendapatan, membina jenama sendiri serta membuka peluang kepada generasi muda untuk meneruskan warisan tersebut sebagai kerjaya.

Snowdan berkata, Borneo Tuak Festival yang dianjurkan di bawah Borneo Rice and Gastronomy Festival bukan sahaja memperkenalkan budaya masyarakat Borneo, malah menjadi platform menghubungkan budaya, keusahawanan dan pelancongan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan BIMP-EAGA Sarawak dan Kumpulan SAGO atas usaha berterusan membangunkan platform yang menghubungkan budaya, komuniti serta usahawan kepada peluang ekonomi sebenar.

 ANEKA pilihan tuak dengan pelbagai perisa dipamer dan dijual sempena Borneo Tuak Festival 2026 di Ridgeway, Kuching, hari ini. Foto: Norman B

Menurutnya, industri budaya memerlukan platform yang konsisten dan bukannya program sekali-sekala bagi membolehkan usahawan terus meningkatkan pengeluaran, menambah baik produk serta membina jenama mereka.

Katanya, kerajaan negeri menerusi kementerian berkaitan akan terus menyokong inisiatif yang menggabungkan budaya, pelancongan dan keusahawanan agar festival itu terus berkembang secara mampan.

Beliau berharap Borneo Tuak Festival dapat dijadikan acara tahunan utama Sarawak kerana manfaatnya bukan sahaja kepada pengusaha tempatan, malah mampu menarik lebih ramai pelancong untuk mengenali budaya serta warisan negeri ini.

Oleh Norman B