
DARO: Daro kini berada dalam fasa pembangunan baharu apabila peningkatan jaringan perhubungan termasuk pembinaan jambatan dan jalan raya membuka peluang ekonomi lebih luas kepada penduduk setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur yang menghubungkan kawasan berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelancongan dan aktiviti perniagaan.
Beliau berkata, sebelum ini faktor geografi dan kedudukan Daro yang dikelilingi sungai menjadi cabaran utama kepada pembangunan, namun keadaan itu berubah apabila kawasan berkenaan mula dihubungkan melalui rangkaian infrastruktur yang lebih baik.
“Apabila kita aman, kita dapat memikir apa yang hendak dibuat. Kalau tidak aman, politik kucar-kacir, masa kita terbuang. Hari ini kita dapat lihat perubahan berlaku, jalan sudah dihubungkan, jambatan sudah dibina dan kehidupan rakyat turut berubah,” katanya ketika berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat di Daro hari ini.
Menurut beliau, jaringan perhubungan yang semakin berkembang menerusi Jambatan Batang Lassa serta rangkaian jalan raya yang menghubungkan kawasan sekitar Daro menjadi pemangkin kepada perubahan besar, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.

Katanya, hubungan Daro dengan Sarikei dan Tanjung Manis melalui jaringan jalan yang lebih baik akan membuka ruang baharu kepada penduduk untuk mengambil manfaat daripada perkembangan ekonomi yang lebih luas.
Abang Johari berkata, pembangunan itu turut melibatkan pendekatan lebih menyeluruh melalui koridor ekonomi Lembah Rajang menerusi penubuhan Agensi Pembangunan Kawasan Rajang (RADA) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan berpotensi di sepanjang lembangan tersebut.
Beliau berkata, Daro kini turut menikmati peningkatan kemudahan perhubungan termasuk pembangunan jalan bertaraf lebih tinggi seperti konsep jalan dua lorong (dual carriageway), yang akan meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Katanya, pembangunan kawasan itu bukan hanya melibatkan kemudahan fizikal, malah turut memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan asas dan kediaman yang lebih baik.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak turut memberi perhatian terhadap penyediaan kediaman mampu milik kepada rakyat sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata, pendekatan baharu perumahan yang dirancang mengambil kira kemampuan rakyat, dengan kerajaan menanggung kos infrastruktur asas seperti kemudahan jalan, bekalan elektrik dan air, selain memperkenalkan elemen teknologi hijau seperti pemasangan solar bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup dalam jangka panjang.
Sementara itu, beliau berkata kawasan Daro dan sekitarnya turut mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, terutama dengan pembangunan kawasan pesisir seperti Belawai yang dirancang sebagai kawasan peranginan serta tarikan baharu termasuk cadangan padang golf bagi merancakkan ekonomi pelancongan di kawasan Kuala Rajang.
Menurut beliau, Daro juga mempunyai kelebihan melalui hasil tempatan seperti ikan terubok yang mampu menjadi tarikan kepada pelancong apabila akses ke kawasan berkenaan semakin mudah.
Beliau berkata, dengan jaringan penerbangan seperti AirBorneo pada masa hadapan, lebih ramai pelancong berpeluang meneroka destinasi di Sarawak termasuk kawasan luar bandar yang mempunyai keunikan tersendiri.
Abang Johari berkata, pembangunan Daro membuktikan pendekatan kerajaan Sarawak yang menumpukan kepada penyambungan kawasan, memperluas peluang ekonomi serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat di seluruh negeri.
“Daro bukan lagi seperti dahulu. Dengan kemudahan yang kita bangunkan, kawasan ini akan terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada masa depan Sarawak,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




