
BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi malam tadi menghadiri majlis santapan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman, di sini.
Turut hadir Sultan Hassanal Bolkiah serta Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Saleha.
Turut mengiringi Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama isteri, Dato Dayang Morliah Awang Daud.
Majlis santapan itu turut dihadiri kerabat diraja Brunei, pembesar negara, kenamaan luar negara, wakil kerajaan serta anggota kor diplomatik.
Majlis berkenaan mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh serta semangat kebersamaan yang terus diperkasakan antara Brunei Darussalam dengan negara dan wilayah yang mempunyai hubungan erat dengannya.
Keberangkatan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah ke majlis tersebut turut melambangkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan diplomatik, persahabatan serta ikatan sejarah yang sekian lama terjalin antara Sarawak dan Brunei Darussalam.
Pada majlis itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Hassanal Bolkiah atas jemputan menghadiri majlis tersebut.
Mereka turut mendoakan agar baginda diberikan kesihatan yang baik, kesejahteraan serta pemerintahan yang sentiasa diberkati demi kemakmuran Brunei Darussalam.




