Album Kompilasi Lagu Melanau 2/2026 himpunkan 17 karya tempatan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KENANGAN… Presiden Persatuan Pengkarya Pemuzik Artis Melanau, Anis Ili merakamkan kenangan bersama barisan artis dan jawatankuasa persatuan pada sidang media Album Kompilasi Lagu Melanau 2/2026 di Sibu, hari ini.

SIBU: Sebanyak 17 lagu hasil karya komposer Melanau tempatan dihimpunkan dalam Album Kompilasi Lagu Melanau 2/2026 sebagai usaha memperkasa serta mempromosikan industri muzik etnik berkenaan.

Presidennya, Anis Ili berkata, proses rakaman vokal album itu bermula pada 1 Oktober 2025 dan selesai pada 30 Oktober tahun yang sama, sebelum proses adunan audio disiapkan pada 18 Disember 2025.

Menurutnya, kerja-kerja percetakan cakera padat (CD) dan reka bentuk kulit album pula disiapkan pada 1 Julai 2026.

“Album ini menampilkan 21 artis, iaitu Fikah, Fifi, Ikhwan, Shamirul, Zuki, Mai Suhaima, Any Syazwani, Reena, Ady Asraf, Bolhassan, Sufi, Izs Ahmad, Raymond Enyo, Emma B, Shafiq, Violet, Linda Norel, Amzah, Ibrahim Yussof, Arif Z dan Allan Maradona.

“Semua lagu yang dimuatkan dalam album ini merupakan hasil karya komposer Melanau tempatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa lagu daripada album berkenaan turut berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Melanau (AJLM) 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos ini.

Antara lagu yang mara ke pentas akhir ialah Rasun Cinta nyanyian Arif Z, Gaan Kaew dan Jerau Jenaseng nyanyian Fifi, selain Matai Mudip Udai serta Jauk oleh Fikah.

Turut berentap dalam pertandingan itu ialah Sesal Mey Sudah (Izs Ahmad), Pulek (Raymond Enyo), Serita Telou (Ady dan Reena), Sai (Allan Maradona), Inau Salam Berterus Terang (Ibrahim Yussof), Cemburu Terus Cemburu (Zuki) dan Kisah Telou (Emma B).

Katanya, AJLM 2.0 yang bertemakan “Muzik Telou Jawai Telou (Muzik Kita, Wajah Kita)” menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada juara, RM5,000 kepada naib juara, RM3,000 kepada pemenang tempat ketiga, RM1,500 bagi kategori Vokal Terbaik, RM1,000 bagi Persembahan Terbaik dan RM500 untuk Anugerah Like Facebook Terbanyak.

Tambah beliau, majlis pelancaran album itu dijangka disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Majlis berkenaan turut dijangka dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawie Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine serta tetamu kenamaan lain.

Oleh TARANI LANTING