China Eastern Airlines lancar penerbangan terus Shanghai-Tbilisi

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TBILISI: China Eastern Airlines pada Rabu melancarkan penerbangan terus antara Shanghai dan Tbilisi, dengan penerbangan sulungnya tiba di ibu negara Georgia pada petang tadi, lapor Xinhua.

Penerbangan MU285 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tbilisi pada sekitar 7.00 malam waktu tempatan selepas perjalanan selama sekitar 10.00 jam, membawa 274 penumpang, menurut naib presiden China Eastern Airlines, He Xiaoqun.

Berucap pada majlis perasmian laluan itu, Perdana Menteri Georgia Irakli Kobakhidze berkata, hubungan Georgia-China telah berkembang pesat sejak kebelakangan ini dan melahirkan keyakinan bahawa penerbangan terus berkenaan akan memperkukuh lagi hubungan dua hala.

CHINA Eastern Airlines.

Kobakhidze berkata, Georgia menganggap China sebagai sebuah negara yang telah mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang melalui dasar pembangunan aman, pemodenan dan kemajuan yang konsisten, sambil menambah bahawa pengukuhan kerjasama dengan China adalah amat penting bagi Georgia.

Duta Besar China ke Georgia, Zhou Qian berkata laluan baharu itu merupakan satu lagi hasil nyata daripada kerjasama dua hala sejak China dan Georgia meningkatkan hubungan mereka kepada perkongsian strategik komprehensif. Beliau menarik perhatian bahawa penerbangan tersebut akan memudahkan perjalanan bagi rakyat kedua-dua negara secara signifikan dan mewujudkan peluang baharu dalam bidang pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

Laluan Shanghai-Tbilisi dikendalikan menggunakan pesawat berbadan lebar Airbus A330 dan menawarkan tiga penerbangan pergi balik seminggu, yang beroperasi pada hari Rabu, Jumaat dan Ahad. – Bernama