Aisberg hanyut lebih 1,200 km di sepanjang pantai timur Greenland

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GAMBAR hiasan.

ISTANBUL: Satu aisberg telah hanyut sejauh lebih 1,200 kilometer (km) di sepanjang pantai timur Greenland, lapor Anadolu Ajansi, memetik penyiar Denmark DR hari ini.

Menurut Institut Meteorologi Denmark (DMI), aisberg itu berukuran kira-kira 5.7 km panjang dan empat km lebar, dengan bahagian yang timbul di atas permukaan laut setinggi antara 10 hingga 25 meter.

DMI memaklumkan bahawa aisberg datar lazimnya hanyut ke selatan bersama ais laut di sepanjang pantai timur Greenland pada musim sejuk dan musim bunga, sebelum tiba di selatan Greenland pada musim panas. Ketika itu, saiznya lazimnya mengecil kepada antara 200 hingga 500 meter.

Penganalisis ais di Perkhidmatan Ais DMI, Hans Henrik Light berkata aisberg berukuran antara tiga hingga enam kilometer hanya dapat dilihat sekali setiap dua atau tiga tahun.

Light berkata beliau telah menjejaki pergerakan aisberg itu sejak beberapa tahun lalu.

Sehingga musim sejuk lalu, aisberg itu terperangkap berhampiran Pulau Ile-de-France yang tidak berpenghuni di timur laut Greenland.

Beliau berkata aisberg itu telah hanyut lebih 1,200 km dari Glasier Nioghalvfjerds dan sekian lama dilindungi oleh ais laut di sekelilingnya.

Menurut beliau, aisberg itu kini bebas daripada ais laut dan dijangka akan pecah menjadi aisberg yang lebih kecil ketika terus hanyut ke arah selatan. DMI memaklumkan pihaknya memantau aisberg kerana ia boleh mengancam keselamatan pelayaran di perairan Greenland. – Bernama