Sarawak komited bangunkan golf remaja – Sebastian Ting

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TING dan tetamu kehormat yang lain bergambar juara keseluruhan pada majlis penutupan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Piala Premier Sarawak ke-23 hari ini.

MIRI: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong pembangunan golf remaja serta penganjuran kejohanan antarabangsa di negeri ini sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan lebih ramai juara masa depan, di samping mengukuhkan reputasi Sarawak sebagai destinasi golf bertaraf dunia.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chew Yew berkata kerajaan negeri kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Persatuan Golf Sarawak (SGA) bagi memastikan kejayaan berterusan kejohanan golf utama.

Berucap mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada majlis penutupan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Piala Premier Sarawak Ke-23 di Eastwood Valley Golf & Country Club, di sini, hari ini, Ting berkata kejohanan itu telah menjadi platform penting untuk membangunkan bakat pemain golf muda.

“Bagi pihak kerajaan Sarawak, kami akan terus menyokong penganjuran kejohanan seperti ini. Piala Premier Sarawak akan kembali untuk edisi ke-24 tahun hadapan dan kementerian kami akan terus memberikan sokongan penuh.

“Kami berharap lebih ramai juara akan lahir dari Sarawak, Malaysia dan seluruh dunia. Mungkin suatu hari nanti ada dalam kalangan anda yang akan beraksi di pentas dunia serta mengenang kembali bahawa perjalanan anda bermula di Piala Premier Sarawak,” katanya.

Walaupun saingan pada hari terakhir terpaksa dihentikan akibat cuaca yang tidak mengizinkan, Ting berkata kejohanan itu tetap memberikan pengalaman berharga kepada para peserta menerusi dua pusingan persaingan yang kompetitif, selain peluang menjalin persahabatan dengan pemain dari pelbagai negara.

Menurut beliau, sukan golf bukan sahaja mengajar kemahiran teknikal, malah membentuk disiplin, ketabahan, integriti dan sahsiah yang akan memberi manfaat kepada pemain sepanjang hayat.

“Dalam golf, anda mencatat sendiri skor anda. Itu mengajar nilai kejujuran dan integriti. Nilai-nilai ini amat penting dan akan kekal bersama anda bukan sahaja dalam sukan golf, malah dalam kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Ting turut menggalakkan ibu bapa agar terus memberi sokongan kepada penglibatan anak-anak dalam sukan golf kerana sukan itu menyediakan persekitaran yang positif, menggalakkan gaya hidup sihat serta membantu pembangunan diri dan pembentukan persahabatan yang berkekalan.

Beliau berkata penyertaan dalam kejohanan membolehkan pemain golf remaja saling belajar, meningkatkan tahap permainan serta mencipta kenangan yang akan terus dikenang pada masa hadapan.

Mengalu-alukan kehadiran peserta dari luar negara, Ting berharap mereka akan kembali ke Miri untuk menyertai kejohanan akan datang, termasuk Piala Premier Sarawak edisi ke-24 tahun hadapan serta Kejohanan Golf Remaja Datuk Sebastian Ting pada Disember ini yang bakal memasuki edisi ke-19.

Beliau turut menjemput para pemain kembali ke Sarawak untuk menyertai Kejohanan Golf Amatur Terbuka Sarawak pada Oktober serta Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia yang turut akan berlangsung di negeri ini pada Disember.

Terdahulu, Ting merakamkan penghargaan kepada pengasas Eastwood Valley Golf & Country Club, Dato Sri Law Kiu Kiong, kerana menjadi tuan rumah kejohanan itu, selain mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Kejohanan, Ting Pang Kong, para pegawai, pengadil, pengurus pasukan, ibu bapa dan pemain atas sumbangan mereka dalam menjayakan kejohanan tersebut.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MGA, SGA dan jawatankuasa penganjur kerana sekali lagi berjaya menganjurkan kejohanan golf remaja antarabangsa itu walaupun berdepan gangguan cuaca.

Turut hadir ialah Presiden MGA, Laksamana (B) Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar Mohd Nor; Naib Presiden MGA, Datuk Marina Gan; Presiden SGA yang juga Pengerusi Penganjur kejohanan, Hoan Kee Hock; Presiden Eastwood Valley Golf & Country Club yang juga pengasas dan Pengarah Urusannya, Dato Sri Law Kiu Kiong; serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Mua’zamir Jili.

Tuchel kekal jurulatih England untuk Euro 2028

ATLANTA, Georgia: Thomas Tuchel yang kini berdepan kritikan masih mendapat sokongan Persatuan Bola Sepak (FA) selepas kekalahan mengecewakan England pada separuh akhir Piala