
ATLANTA: Kapten England, Harry Kane, mengakui beliau amat kecewa selepas pasukannya tewas 2-1 kepada juara bertahan, Argentina, dalam aksi separuh akhir Piala Dunia awal pagi tadi.
Jaringan Anthony Gordon meletakkan The Three Lions di ambang penampilan pertama dalam final Piala Dunia lelaki sejak menjulang trofi pada 1966, namun Lionel Messi mencetuskan kebangkitan dramatik Argentina di Atlanta.
Messi mencipta peluang kepada Enzo Fernandez untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan jarak jauh sebelum menghantar hantaran lintang tepat kepada Lautaro Martinez yang menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
“Saya benar-benar kecewa untuk semua pemain, pasukan, barisan kejurulatihan dan penyokong.
“Kami bermain dengan baik sepanjang sebahagian besar perlawanan. Selepas mendahului 1-0, kami seolah-olah cuba mempertahankan kelebihan itu, tetapi pada tahap ini ia tidak mencukupi.
“Kami bekerja begitu keras untuk sampai ke sini dan semua pemain telah memberikan segala-galanya, keringat, darah dan air mata,” kata Kane kepada BBC.
Penyerang Bayern Munich itu, yang menjaringkan enam gol sepanjang kejohanan, berkata England gagal mengekang asakan berterusan daripada juara bertahan.
“Selepas gol itu, sama ada kerana mereka menambah lebih ramai pemain di hadapan atau kami gagal menandingi mereka seorang lawan seorang, serangan demi serangan datang tanpa henti.
“Semua pemain bertahan bersungguh-sungguh menghalang percubaan lawan, tetapi akhirnya ia masih tidak mencukupi,” katanya.
Kane menegaskan England sebenarnya tidak merancang untuk hanya bertahan selepas mendahului.
“Selepas kami menjaringkan gol, arahan yang diberikan ialah terus menyerang dan mencari gol kedua.
“Namun selepas mereka menjaringkan dua gol, kami cuba bangkit semula tetapi gagal mendapatkan semula momentum permainan,” katanya.
England kini sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir dalam empat daripada lima kejohanan utama terakhir, namun masih belum memenangi sebarang trofi utama sejak menjuarai Piala Dunia 1966.
Kane, yang akan berusia 33 tahun hujung bulan ini, enggan mengulas sama ada beliau masih akan bersama skuad England menjelang Piala Dunia akan datang.
Beliau bagaimanapun menjadikan prestasi Messi yang kini berusia 39 tahun dan telah menjaringkan lapan gol pada Piala Dunia 2026 sebagai sumber inspirasi.
“Sebagai seorang pemain, saya sentiasa mengambilnya setahun demi setahun dan melihat bagaimana keadaan diri saya.
“Bermain untuk England adalah kebanggaan terbesar saya dan perkara yang paling saya sukai.
“Empat tahun adalah tempoh yang panjang. Saya akan berusia 33 tahun pada musim panas ini, tetapi lihat sahaja Leo, dia masih beraksi pada tahap tertinggi.
“Saya tidak mahu meletakkan sebarang had terhadap perkara seperti ini. Buat masa sekarang, saya hanya mahu menerima hakikat satu lagi kekalahan yang amat perit bersama pasukan ini.” – AFP




