
SAJAK merupakan hasil kegiatan pemadatan. Sebuah proses kreatif yang menuntut penyair menangkap pelbagai kesan daripada pengalaman hidup, pemerhatian, renungan, imaginasi dan pergulatan batin.
Seterusnya memadatkannya menjadi sebuah susunan bahasa yang padat makna. Di dalam sajak, dunia yang luas tidak dipindahkan secara bulat-bulat. Ia perlu disaring, dipilih, disusun dan diperkemas sehingga setiap perkataan membawa beban makna yang jauh lebih besar daripada makna lahiriahnya. Umpama memadatkan alam kolam ke dalam sebiji cawan.
Pengalaman selalu menjadi inspirasi utama kepada penghasilan sajak. Pengalaman itu boleh berupa sesuatu yang dilihat, didengar, disentuh, dihidu atau dirasai oleh jiwa.
Kadangkala pengalaman tersebut datang daripada sebuah peristiwa yang besar. Ada juga lahir daripada detik-detik kecil yang sering terlepas daripada perhatian orang lain.
Semuanya menjadi bahan mentah kepada sajak apabila penyair mempunyai kepekaan untuk menangkap kesan yang tersembunyi di sebalik setiap peristiwa itu.
Penyair tidak wajar sekadar merakam peristiwa yang berlaku semata-mata. Kesan yang ditinggalkan oleh peristiwa tersebut terhadap jiwa dan fikiran perlu lebih diperhatikan.
Daripada kesan-kesan inilah akan lahir benih makna yang akan berkembang menjadi sajak mendalam. Setelah pengalaman ditangkap, penyair memasuki proses renungan dan pemadatan.
Pada tahap ini, dunia yang besar harus dikecilkan tanpa kehilangan keluasan maknanya. Ratusan halaman pengalaman perlu dipadatkan menjadi beberapa rangkap, malah kadangkala hanya beberapa baris.
Pemadatan bukan bermaksud mengurangkan makna. Ia menyingkirkan segala yang berlebihan agar yang tinggal hanyalah inti yang paling bernilai. Penyair menyaring pengalaman dengan renungan sehingga cuma tersisa sari maknanya.
Dalam proses ini, setiap kata dipilih dengan penuh teliti dan cermat. Tiada perkataan yang hadir sekadar memenuhi ruang. Setiap kata harus saling berhubung dan mendukung antara satu sama lain.
Penyair sentiasa bertanya kepada dirinya, adakah perkataan itu yang paling tepat atau perlu ditukarkan? Adakah citra ini mampu memikul makna yang ingin disampaikan?
Adakah sesuatu simbol itu mampu membuka ruang tafsiran yang luas tanpa mengaburkan maksud? Ketelitian memilih kata inilah yang membezakan sajak daripada bahasa harian.
Proses pemadatan akhirnya melahirkan yang dinamakan sebagai ketumpatan makna. Sebuah sajak yang baik mampu mengandungi pengalaman kehidupan yang sangat luas walaupun hanya terdiri daripada beberapa rangkap pendek.
Setiap kali dibaca, lapisan makna baharu dapat ditemukan kerana kata-katanya mengandungi tenaga tafsiran yang sentiasa berkembang. Inilah keistimewaan sajak. Ia tidak menghabiskan makna dalam sekali baca, sebaliknya terus mengundang pembaca untuk kembali menyelami kedalamannya.
Tulisan ini akan membicarakan tentang kesan-kesan daripada pengalaman hidup yang ditangkap dan kemudiannya dipadatkan ke dalam sajak oleh tiga orang penyajak muda.
Abu Adil dengan sajaknya, “Impian Seekor Ikan”, Hisyam Mohamad menerusi sajak, “Kepada Siapa Kutitipkan Surat ini” dan Halimah Ramli lewat sajak, “Luka yang Tidak Akan Diwarisi”.
Melalui sajak “Impian Seekor Ikan”, Abu Adil mengungkapkan tentang hubungan antara ikan dengan nelayan:
impian seekor ikan
ialah menua bersama ombak
tapi jika dia tahu
setiap arus yang mengasuhnya
akan berakhir di perut nelayan
adakah dia menyesatkan diri
daripada dijala
sedangkan mereka
belajar berlapar
menunggu kematiannya
Penyajak berupaya menangkap sebuah pengalaman yang kelihatan kecil, iaitu kehidupan seekor ikan, lalu mengembangkannya menjadi renungan berkaitan impian, harapan, takdir dan kitaran kehidupan.
Ikan berfungsi sebagai simbol yang lebih daripada sekadar dalam lingkungan haiwan di alam air semata-mata. Ia menjangkau daerah pertembungan dengan kehidupan manusia.
Menurut penyajak, impian seekor ikan amat sederhana, iaitu hidup lama secara tenang di dunia lautan (‘menua bersama ombak’). Walau bagaimanapun, ia tidak pernah tahu ketentuannya sebagai antara sumber makanan utama manusia serta sumber pendapatan penting bagi para nelayan.
Penyajak membayangkan, bagaimana jika ia tahu? Apakah ia mampu lari daripada jala dan pukat nelayan, sedangkan mereka amat berharap untuk menangkapnya demi meneruskan sebuah kehidupan?
Secara keseluruhannya, sajak ini berjaya menunjukkan pengalaman kecil yang dipadatkan. Sungguhpun demikian, masih ada ruang untuk memantapkan lagi sajak ini.
Mungkin penyajak boleh memperinci secara lebih halus kesan emosi, hubungan antara ikan dengan nelayan. Para pembaca mengetahui bahawa ikan bakal berakhir di “perut nelayan” dan nelayan “belajar berlapar menunggu kematiannya”.
Walau bagaimanapun, kegelisahan ikan, ketakutan terhadap jala atau penderitaan nelayan yang menunggu rezeki tidak benar-benar dapat dirasakan mereka.
Kesan dalaman kedua-dua pihak hanya disentuh pada permukaan lalu menjadikan renungannya agak kurang mendalam.
Sajak, “Kepada Siapa Kutitipkan Surat Ini” hasil karya Hisyam Mohamad pula membicarakan tentang luahan hati yang ditulis melalui surat tetapi tidak tahu kepada siapa akan dihantarkan:
Malam ini aku tidak sepi
Bulan dan bintang cahayanya saling bersahutan
Menerangi kelam para saksi
Memberi ilham untuk berjuang esok hari.
Bertemankan lilin di penjuru meja
Lantas aku menulis
Memberi kisah baru pada lembaran ini
Yang aku tanamkan jiwa padanya
Kerana dia sahabatku malam ini
Mendengar rintihan rindu
dan hikayat malang pencerita
Menjadi bait puitis sandaran hati.
Aku lipatkan surat itu
Menjadi pesawat kertas yang melintasi cakerawala
Tiada alamat untuk mendarat
Menunggu takdir menentukan destinasi
Hentian abadi berkunjung tiba.
Penyajak berusaha menangkap kesan pengalaman batin yang sunyi, lalu memadatkannya menjadi citra-citra yang bersifat simbolik. Penyajak tidak menceritakan secara langsung peristiwa yang dialaminya. Sebaliknya memilih beberapa imej seperti bulan, bintang, lilin, surat dan pesawat kertas untuk membawa pengalaman kesunyian, kerinduan dan pencarian tujuan hidup.
Kesunyian malam tidak digambarkan sebagai kesepian yang kosong. Lebih daripada itu, ia menjangkau sebagai ruang renungan yang melahirkan ilham. Baris “malam ini aku tidak sepi”, disambut dan disokong oleh kehadiran bulan, bintang dan lilin yang menjadi teman kepada penyajak.
Walau bagaimanapun, diksi “kerana dia sahabatku malam ini” menimbulkan persoalan tentang siapakah yang dimaksudkan dengan “dia”? Apakah hubungan sebenar antara penyair dengan “sahabat” itu. Adakah sahabat tersebut seorang yang telah pergi atau insan istimewa yang dirindui? Penyajak tidak menyediakan petunjuk yang mencukupi untuk membimbing pembaca membina hubungan emosi dengan citra tersebut. Hal ini menyebatkan “sahabat” tidak berkembang menjadi citra yang benar-benar hidup dalam imaginasi pembaca. Ketidakjelasan ‘dia’ serta pertentangan antara kewujudan ‘sahabat’ dengan ketiadaan alamat penerima surat menyebabkan kesatuan makna sajak menjadi terjejas.
Begitu juga dengan ungkapan “mendengar rintihan rindu” yang membawa potensi emosi yang besar, tetapi berhenti pada tahap pernyataan semata-mata. Penyajak tidak menyingkapkan apakah bentuk kerinduan yang sedang dialami dan siapakah yang dirindui? Mengapakah kerinduan itu begitu mendalam sehingga perlu dituliskan dalam sebuah surat? Adakah kerinduan terhadap seseorang, tanah air, masa silam, impian yang gagal dicapai atau Tuhan? Ketiadaan sebarang petunjuk menyebabkan kerinduan itu menjadi terlalu umum dan gagal memperoleh kekuatan emosi yang khusus.
Hal serupa juga dapat dikesan dalam frasa “hikayat malang pencerita”. Penyajak tidak memberikan gambaran walaupun sedikit tentang malang yang dimaksudkan. Para pembaca akhirnya hanya mengetahui bahawa wujud sebuah kisah sedih tanpa dapat merasai kesedihan tersebut. Rasa simpati sukar tumbuh kerana mereka gagal memahami sepenuhnya malang yang dihadapi.
Dalam penciptaan sajak, segala-galanya tidak perlu dijelaskan secara terang. Walau bagaimanapun, pemadatan yang berkesan tetap memerlukan beberapa citra atau perincian yang cukup kuat untuk membuka pintu daya bayang para pembaca. Sebuah imej kecil yang tepat selalunya lebih berkesan daripada sebuah kenyataan yang umum. Misalnya, jika kerinduan itu dihadirkan melalui sebuah perbandingan, objek, kenangan atau perlakuan yang khusus, para pembaca akan lebih mudah memasuki ruang emosi penyajak.
Sajak terakhir yang akan dibincangkan berjudul “Luka yang Tidak Akan Diwarisi” tulisan Halimah Ramli. Sajak ini membicarakan tentang luka seorang wanita yang diharus diwarisi:
Ibu
di matamu yang meredup
senyummu yang palsu
tersimpan kasih luka.
Dan aku
mematri sumpah di atas luka semalam
“Luka yang sama, takkan kubawa!”
Ayah
cukuplah drama dunia!
dunia yang engkau hamparkan luka.
Engkau cermin dalam kumelangkah
peta yang dusta
seringkali kupijak dan terpedaya
lalu rebah menjadi mangsa
arghh..kali ini tidak
“kerana peta yang sama, takkan kujejak!”
Kenangan luka bersama senyum retak
di dada, perih ini berdenyut galak
kuharap anakku tak perlu sekuat aku
“Sisa nestapa ini, biar mati di aku!”
Luka bukan untuk diwarisi
akan kupancung!
walau cinta berbekas masih
dalam senyum perih
sumpah kukunci
“luka ini,
mati di sini!”
Sajak ini menjelma daripada satu pengalaman emosi yang kuat. Keinginan untuk memutuskan rantaian luka yang diwarisi daripada seorang ibu agar tidak lagi dirasai oleh generasi seterusnya. Penyajak tidak memilih untuk menceritakan keseluruhan kisah hidup keluarganya, sebaliknya menangkap kesan daripada pengalaman tersebut. Berusaha memadatkannya ke dalam beberapa rangkap yang sarat dengan rasa dan tekad. Penyajak memusatkan seluruh pengalamannya kepada satu gagasan yang jelas, iaitu “luka tidak harus diwarisi”. Keseluruhan sajak bergerak secara konsisten menuju kesimpulan tersebut. Kesatuan tema ini menjadikan sajak mempunyai arah yang kukuh dan mudah dihayati.
Penyajak berjaya memilih beberapa diksi yang mampu membawa makna yang besar. “Matamu yang meredup”, “senyummu yang palsu”, “senyum retak”, “dada berdenyut”, “peta yang dusta”, dan “luka yang diwarisi” merupakan frasa-frasa yang terus menghubungkan para pembaca dengan pengalaman batin tanpa memerlukan huraian panjang. Melalui beberapa citra ini sahaja, pembaca dapat menangkap kesedihan, pengkhianatan, kekecewaan dan keazaman yang menjadi inti pengalaman penyair. Pemilihan citra seperti ini memperlihatkan usaha memadatkan dunia emosi yang luas ke dalam ungkapan yang ringkas.
Walau bagaimanapun, jika diukur dari sudut pemadatan makna yang benar-benar halus, sajak ini masih memiliki beberapa kekurangan dan boleh dimurnikan. Sebagai contoh, penyajak lebih banyak menyatakan emosi secara langsung berbanding membiarkan citra dan simbol menyampaikan emosi tersebut. Ungkapan seperti “cukuplah drama dunia”, “akan kupancung”, “mati di sini”, dan “arghh…” terus memberitahu kemarahan penyair kepada pembaca. Bahasa seperti ini mengurangkan ruang tafsiran kerana emosi sudah dijelaskan secara terbuka. Dalam sajak yang benar-benar padat, para pembaca lazimnya dibiarkan menemui kemarahan itu sendiri melalui perlambangan, perbandingan dan citra yang lebih halus.
Melalui sajak-sajak yang dibincangkan di atas, dapat dikesan bahawa ketiga-tiga penyajak berusaha untuk menangkap pengalaman yang berbeza. Abu Adil mengangkat hubungan antara ikan dan nelayan sebagai renungan tentang takdir dan kelangsungan hidup. Hisyam Mohamad merakam pengalaman kesunyian, kerinduan dan pencarian makna melalui citra-citra yang simbolik. Halimah Ramli pula memadatkan pengalaman luka keluarga menjadi tekad untuk memutuskan warisan penderitaan. Kesemuanya membuktikan bahawa pengalaman yang kecil sekalipun mampu berkembang menjadi sajak yang besar apabila penyair berjaya menangkap kesan yang tersembunyi di sebaliknya.
Walau bagaimanapun, pemadatan yang berkesan tidak hanya bergantung pada keindahan bahasa atau penggunaan simbol semata-mata. Ia juga menuntut ketepatan dalam memilih citra yang mampu membangkitkan emosi, simpati dan empati pembaca.
Sebuah sajak yang terlalu umum akan menyebabkan kesannya menjadi samar, manakala sajak yang terlalu menjelaskan emosinya pula akan mengehadkan ruang tafsiran. Keseimbangan antara yang diungkapkan dengan yang dibiarkan tersirat merupakan salah satu ciri penting sajak yang matang.
Oleh Zainal Abidin Suhaili (Abizai)

