
CERPEN yang baik sentiasa lahir daripada keseimbangan antara gagasan dan penceritaan. Gagasan boleh menjadi sebesar apa pun—tentang penindasan ekonomi, maruah petani, tanah warisan atau ketahanan budaya—tetapi apabila gagasan itu terlalu jelas menguasai naratif, watak-watak akan berubah menjadi jurucakap idea, bukannya manusia yang hidup.
Di sinilah letaknya kekuatan karya-karya klasik. The Old Man and the Sea misalnya tidak pernah mengajar pembaca tentang maruah manusia melalui syarahan panjang.
Sebaliknya, Hemingway membiarkan Santiago bergelut dengan laut, ikan dan tubuhnya sendiri sehingga pembaca akhirnya memahami bahawa, “A man can be destroyed but not defeated.”
Kalimat itu memperoleh kekuatannya bukan kerana keindahan bahasanya semata-mata, tetapi kerana keseluruhan cerita telah membuktikannya kuat terlebih dahulu.
Begitu jugalah dalam cerpen “Tiang Belian Kumang”. Cerpen ini sebenarnya memiliki teras yang sangat kukuh. Ia mengangkat persoalan yang jarang diketengahkan dalam cerpen Melayu mutakhir, iaitu penindasan ekonomi terhadap pekebun lada oleh orang tengah, di samping menghubungkan persoalan itu dengan tanah warisan, identiti masyarakat Iban dan maruah petani. Isunya segar, latarnya hidup, simbol tiang belian dan sulur lada juga mempunyai potensi alegori yang besar.
Namun begitu, potensi tersebut belum berkembang sepenuhnya menjadi sebuah cerita yang benar-benar menyentuh pembaca kerana pengarang lebih banyak menjelaskan makna daripada membiarkan makna itu lahir melalui tindakan watak dan perkembangan konflik.
Kekuatan paling ketara cerpen ini adalah penggunaan simbol. Tiang belian menjadi lambang keteguhan, manakala sulur lada menjadi lambang belenggu hidup. Hubungan kedua-dua simbol ini sebenarnya sangat indah.
Apabila Kumang dibelit sulur lada, pembaca segera memahami bahawa yang sedang mencekiknya bukan tumbuhan itu sendiri, tetapi hutang, harga pasaran, kos baja dan ketidakadilan sistem ekonomi.
Alegori seperti ini mengingatkan pembaca kepada tradisi realisme magis Amerika Latin yang menjadikan unsur luar biasa sebagai manifestasi konflik psikologi. Malangnya, simbol yang kuat itu kemudian diterangkan berulang kali sehingga kehilangan sedikit misterinya.
Dalam erti kata lain, magisnya dijemukan oleh pengulangan dan juga beberapa teknik penerangan yang begitu nyata hingga mengetepikan desakan emosi yang sepatutnya dirasakan pembaca.
Misalnya pada permulaan cerita, Kumang digambarkan sesak nafas lalu dibelit oleh sulur lada yang datang bertali arus membelit lehernya. Adegan ini sangat berjaya sebagai pembukaan kerana ia terus menimbulkan persoalan.
Namun selepas itu, pengarang segera menerangkan bahawa sulur tersebut merupakan desakan pilihan hidup, tekanan harga lada, kos baja dan sebagainya. Perbuatan segera menerangkan ini adalah suatu kelemahan kepengarangan yang wajar dielakkan demi memastikan seni menukang cerpen tidak tercela gubahannya.
Penjelasan ini sebenarnya tidak diperlukan terlal awal. Pembaca seharusnya dibenarkan mengalami rasa sesak bersama Kumang sebelum mengetahui apakah sebenarnya yang sedang “mencekik” dirinya.
Dalam teori naratif moden, terdapat prinsip show, don’t tell. Cerpen ini masih terlalu cenderung kepada “memberitahu”. Sebagai contoh, pengarang menulis bahawa “setiap batang belian yang masih terpacak, dan setiap tangkai buah lada yang bergelimpangan di tanah seolah-olah membisikkan nada sayu ke telinga Kumang.” Ayat ini sebenarnya sudah memadai untuk membina suasana.
Namun selepas itu, pengarang menerangkan pula tentang harga baja, kos jentera dan kos hidup yang meningkat. Maklumat tersebut penting, tetapi penyampaiannya boleh dijelmakan melalui aksi.
Misalnya, Kumang boleh membuka buku hutang yang penuh dengan angka merah, membelek resit baja atau mengira baki wang di dalam dompetnya. Dengan cara itu, pembaca melihat sendiri tekanan ekonomi tersebut tanpa perlu diterangkan secara langsung.
Kelemahan kedua terletak pada struktur plot yang agak mendatar. Cerpen ini bermula dengan sangat dramatik, kemudian bergerak kepada kenangan zaman kecil, kembali kepada keadaan semasa, seterusnya memasuki episod sulur lada membelit badan Kumang sebelum akhirnya Ah Peng muncul.
Struktur ini sebenarnya boleh berfungsi dengan baik, tetapi tempo penceritaannya kurang seimbang.
Konflik utama, iaitu pertembungan antara Kumang dan Ah Peng, hanya benar-benar bermula selepas hampir separuh cerita berlalu. Sebelum itu, pembaca telah melalui beberapa halaman yang mengulang tekanan ekonomi dalam bentuk renungan dalaman Kumang. Akibatnya, ketegangan cerita sedikit kendur.
Barangkali, pengarang cuba menyerlahkan beratnya tekanan ekonomi yang mencetuskan asal-muasal penceritaan. Namun, pengulangan seumpama itu amat tidak sesuai untuk rentak sebuah cerpen.
Konflik akan menjadi lebih kukuh sekiranya Ah Peng diperkenalkan lebih awal. Bayangkan jika adegan pertama terus bermula dengan Ah Peng menawarkan harga yang terlalu rendah.
Kumang menolak, lalu pulang ke kebun dalam keadaan marah. Di situlah sulur lada mula membelit dirinya. Dengan susunan sebegini, pembaca terus memahami bahawa pengalaman mistik itu lahir daripada konflik yang baru sahaja berlaku, sekali gus menjadikan hubungan antara realiti dan alegori lebih organik.
Watak Kumang pula mempunyai asas psikologi yang baik, namun masih belum berkembang menjadi manusia yang benar-benar kompleks. Hampir keseluruhan cerpen memperlihatkan Kumang sebagai mangsa keadaan.
Pembaca mengetahui bahawa dia ditekan oleh hutang, harga lada dan orang tengah. Namun pembaca kurang mengenali Kumang sebagai individu.
Apakah cita-citanya?
Apakah ketakutan paling besarnya selain kemiskinan?
Bagaimanakah hubungan Kumang dengan keluarganya?
Adakah dia pernah gagal sebelum ini?
Semua persoalan ini tidak benar-benar dijawab. Akibatnya, Kumang lebih menyerupai lambang petani berbanding seorang manusia yang mempunyai sejarah emosi tersendiri.
Adalah mudah difahami kerumitan pembinaan watak, lebih-lebih lagi untuk sebuah cerpen yang ekonomi sifatnya. Namun, tetaplah pengarang harus mengambil kira kepentingan pembinaan watak yang meyakinkan manusiawinya supaya menyentuh nubari pembaca.
Kenangan tentang datuknya merupakan bahagian yang paling menyentuh dalam cerpen ini. Tetapi kenangan tersebut boleh dipanjangkan sedikit supaya benar-benar menjadi asas kepada keputusan Kumang pada penghujung cerita.
Mungkin datuknya pernah berpesan bahawa tanah tidak pernah mengkhianati manusia, hanya manusia yang mengkhianati tanah. Jika benih konflik ini ditanam lebih awal, keputusan Kumang menolak Ah Peng pada penghujung cerita akan terasa lebih meyakinkan kerana berpunca daripada pembentukan watak, bukannya sekadar ledakan emosi.
Watak Ah Peng pula menjadi kelemahan yang agak ketara. Dia terlalu jelas diposisikan sebagai antagonis. Hampir tiada ruang untuk pembaca melihat sisi kemanusiaannya. Dia datang, menawarkan harga rendah, bercakap angkuh, kemudian berundur apabila Kumang menolak.
Dalam karya-karya besar, antagonis jarang sekali menganggap dirinya jahat. Mereka sentiasa mempunyai logik sendiri. Dalam kehidupan nyata misalnya, tiada watak hitam putih, hanya kelabu.
Setiap kebaikan seseorang itu punya akarnya begitu juga dengan kejahatannya. Semuanya dibentuk oleh sesebuah peristiwa ataupun alur hidup tertentu yang akan menzahirkan setiap individu sama ada terlihat jahat atau baik.
Ah Peng misalnya boleh berkata bahawa dia sendiri ditekan oleh pemborong besar di bandar. Dia juga menanggung kos lori, pekerja, gudang dan risiko pasaran.
Dengan memberikan justifikasi seperti itu, konflik menjadi jauh lebih menarik kerana pembaca menyedari bahawa masalah sebenar bukan Ah Peng seorang, tetapi keseluruhan rantaian ekonomi yang menindas semua pihak di bawahnya.
Memberi justifikasi kepada setiap tindak-tanduk Ah Peng akan membina keyakinan pembaca ke atas setiap kezaliman Ah Peng.
Klimaks cerpen juga boleh diperkukuh. Ketika Kumang mengangkat gugusan lada lalu berkata bahawa merekalah yang sepatutnya menentukan harga, adegan tersebut sangat berpotensi menjadi detik paling berkesan dalam cerita.
Namun pengucapannya agak panjang dan bersifat slogan. Kata-kata seperti “Ini semua hasil dari tanah kami. Hasil titik peluh dan kudrat kami. Sepatutnya kami yang tentukan harga.” memang jelas, tetapi sedikit terlalu menjelaskan mesej.
Kadangkala satu tindakan lebih kuat daripada satu perenggan dialog. Bayangkan jika Kumang sekadar membuka guni lada, menggenggam segenggam lada lalu membiarkan butir-butir itu jatuh perlahan ke tanah sambil berkata: “Kalau tanah ini sendiri tidak aku jual murah, mengapa hasilnya harus aku jual murah?” Dialog seperti ini lebih pendek tetapi mempunyai gema simbolik yang lebih panjang.
Perubahan selepas klimaks juga berlaku terlalu pantas. Selepas Ah Peng menghilang, cerita melompat beberapa bulan ke hadapan dan tiba-tiba Kumang telah memperoleh dana kerajaan, membeli mesin, membangunkan jenama sendiri dan berjaya memasarkan hasil lada secara terus.
Dari sudut logik cerita, perubahan ini terlalu mudah. Pembaca tidak sempat melihat proses perjuangan Kumang. Di sinilah salah satu peluang dramatik terbesar yang terlepas.
Cerpen boleh memaparkan beberapa adegan pendek seperti Kumang mengisi borang bantuan, menghadiri kursus pertanian, meyakinkan pengusaha lain, atau gagal menghasilkan produk pada cubaan pertama.
Atau mungkin sedikit kritikan sosial tentang kerenah birokrasi yang memakan masa berbulan-bulan lamanya akan mendorong Kumang untuk merasuah tetapi digagalkan oleh pegangan moral yang kuat. Kegagalan-kegagalan kecil inilah yang akhirnya menjadikan kejayaan lebih bermakna.
Pengakhiran cerita sebenarnya cukup indah apabila Kumang masih mengusap lehernya walaupun Ah Peng sudah tiada.
Adegan ini memperlihatkan bahawa belenggu sebenar bukan individu tertentu, tetapi ancaman yang sentiasa boleh kembali dalam bentuk lain. Simbol itu sangat kuat. Namun kerana kejayaan Kumang datang terlalu mudah sebelum itu, kesan simbol tersebut sedikit berkurangan.
Dari sudut bahasa pula, cerpen ini mempunyai kelebihan yang jelas. Pengarang memiliki kecenderungan menghasilkan metafora yang segar. Gambaran seperti peluh yang “kering lalu basah kembali”, atau harga baja yang “mencanak seperti bukit yang semakin ditarah” menunjukkan kepekaan terhadap imejan.
Walau bagaimanapun, terdapat kecenderungan menggunakan metafora secara berturut-turut sehingga ayat menjadi padat dengan perbandingan.
Sebagai contoh, dalam satu perenggan sahaja pembaca boleh menemui biji lada, matahari, peluh, tubuh memberontak, dada mengeras dan salur pernafasan. Apabila terlalu banyak metafora berhimpun dalam satu ruang, setiap satunya kehilangan daya pukau.
Pengarang wajar memilih satu metafora dominan dalam setiap adegan. Jika adegan itu tentang sesak nafas, maka keseluruhan perenggan hendaklah dibina di sekitar imejan nafas.
Jika adegan itu tentang tanah warisan, biarlah seluruh bahasa berpusing pada tanah, akar dan belian. Konsistensi metafora akan menjadikan bahasa lebih tajam. Kesannya juga akan lebih berimpak justeru menghadirkan ingatan kuat dalam fikiran pembaca.
Di samping itu, salah satu kelemahan cerpen ini adalah kadangkala mengulang idea yang sama dalam bentuk berbeza. Misalnya tekanan harga lada, kenaikan kos hidup, hutang dan rasa terhimpit diulang berkali-kali melalui renungan Kumang.
Pengulangan seperti ini boleh dikurangkan kerana pembaca sudah memahami keadaan tersebut sejak awal cerita. Untuk cerpen yang ekonomi kata-kata sifatnya, pengulangan yang tidak perlu amat merugikan pengembangan plot.
Ruang yang dijimatkan boleh digunakan untuk memperdalam hubungan Kumang dengan datuknya atau memperlihatkan kehidupan petani lain di kampung.
Justeru, kita akan mampu melihat suatu pembinaan latar penceritaan yang rinci dan padat meski ringkas untuk sebuah cerpen.
Satu lagi perkara yang boleh dipertimbangkan ialah memperkaya fungsi tajuk. “Tiang Belian Kumang” sudah menarik kerana menghubungkan watak dengan simbol. Namun selepas membaca keseluruhan cerita, pembaca akan menyedari bahawa tokoh utama sebenarnya bukan sekadar tiang belian, tetapi pertentangan antara keteguhan dan belitan.
Tiang belian melambangkan daya tahan, manakala sulur lada melambangkan tekanan hidup. Kedua-duanya saling bertembung sepanjang cerita.
Oleh itu, keseluruhan naratif akan terasa lebih padu jika setiap babak sentiasa mengembalikan pembaca kepada pertentangan dua simbol tersebut.
Secara keseluruhannya, “Tiang Belian Kumang” merupakan sebuah cerpen yang mempunyai premis yang matang, simbol yang kaya dan latar budaya yang meyakinkan.
Cerpen ini jelas lahir daripada pemerhatian terhadap realiti pekebun lada di Sarawak, sekali gus membawa suara yang masih jarang diberikan ruang dalam kesusasteraan Melayu kontemporari.
Yang diperlukan bukanlah perubahan besar terhadap gagasannya, tetapi penyusunan semula cara gagasan itu disampaikan.
Apabila renungan dikurangkan dan tindakan diperbanyakkan, apabila Ah Peng diberi lapisan psikologi yang lebih rumit, apabila perjuangan Kumang diperlihatkan langkah demi langkah, dan apabila simbol dibiarkan bekerja tanpa terlalu banyak penjelasan, cerpen ini akan memperoleh kekuatan dramatik yang jauh lebih besar.
Pada ketika itu, pembaca bukan sahaja memahami bahawa Kumang mempertahankan maruahnya, bahkan mereka akan merasakan sendiri sesak nafas yang dialami, keberanian yang dipilih, dan akhirnya keteguhan yang menjadikan dirinya benar-benar layak berdiri sebagai tiang belian di tengah-tengah kebun warisan yang terus menguji manusia dengan pelbagai belitannya.
Oleh Lokman Hakim
