Remaja perempuan maut, seorang lagi cedera dalam kebakaran rumah di Tupong Ulu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA bomba menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 5 Permai Jaya, Tupong Ulu, awal pagi tadi. Foto JBPM

PETRA JAYA: Seorang remaja perempuan maut, manakala seorang remaja lelaki cedera dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 5 Permai Jaya, Tupong Ulu, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut, 13, disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa, 14, berjaya diselamatkan anggota bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba empat minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal yang terbakar kira-kira 70 peratus.

“Maklumat awal memaklumkan terdapat dua mangsa masih berada di dalam rumah ketika kejadian.

“Pasukan bomba bertindak memasuki bangunan menggunakan teknik offensive bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dilaporkan terperangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sementara menunggu ketibaan pasukan KKM.

Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula, satu aliran salur sepanjang 300 kaki dengan satu nozel serta sebuah tangga.

Kebakaran berjaya dikawal pada 3.14 pagi dan operasi ditamatkan pada 3.40 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Syed Azrin Wan Halami dengan kekuatan 17 anggota menggunakan dua jentera FRT dan sebuah Urvan. Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.