
MADRID, Sepanyol: Cubaan pecah masuk dilakukan ke rumah bintang Sepanyol, Lamine Yamal di Barcelona pada Rabu, tidak lama selepas pemain itu membantu La Roja melangkah ke final kedua Piala Dunia mereka, menurut polis dan media.
“Cubaan” pecah masuk berlaku “di sebuah kediaman di Esplugues de Llobregat” di pinggir Barcelona, kata jurucakap polis wilayah Catalonia kepada AFP.
Pasukan keselamatan itu enggan mendedahkan identiti pemilik rumah atas faktor privasi, namun akhbar berpangkalan di Barcelona, La Vanguardia, melaporkan kediaman berkenaan milik penyerang Sepanyol berusia 19 tahun itu.
Menurut laporan akhbar itu, dua individu memakai penutup muka memanjat tembok rumah tersebut sebelum disedari pengawal keselamatan persendirian, menyebabkan mereka melarikan diri.
La Vanguardia turut melaporkan rumah Yamal itu dikenali ramai kerana pernah menjadi kediaman bekas pemain hebat Barcelona, Gerard Pique dan bekas pasangannya, bintang muzik Colombia, Shakira, ketika mereka tinggal bersama di ibu kota Catalonia itu.
Kejadian pada Rabu berlaku awal pagi, beberapa ketika selepas Sepanyol melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas Perancis di Texas untuk mara ke final Piala Dunia.
Yamal memenangi sepakan penalti pada separuh masa pertama yang disempurnakan Mikel Oyarzabal bagi membuka tirai jaringan.
Di Madrid, bintang bola sepak seperti Karim Benzema, Rodrygo dan Dani Carvajal turut pernah menjadi mangsa kejadian pecah masuk di kediaman masing-masing dalam beberapa tahun kebelakangan ini.— AFP



