
KUALA LUMPUR: Hasrat untuk menyaksikan permulaan positif gandingan baharu beregu lelaki negara Man Wei Chong-Soh Wooi Yik tidak kesampaian apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pasangan yang pertama kali digandingkan ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi itu tewas kepada beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang menghuni ranking ke-18 dunia, 23-21, 17-21, 16-21.
Wei Chong-Wooi Yik memulakan aksi dengan cemerlang apabila memenangi set pertama, namun gagal mengekalkan rentak sebelum akur tewas dalam dua set berikutnya.
Sementara itu, beregu lelaki profesional Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut menerima nasib sama apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada beregu tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 17-21, 14-21.
Terdahulu, beregu campuran negara Jimmy Wong-Cheng Su Yin serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke pusingan kedua selepas masing-masing menewaskan lawan pada aksi yang turut berlangsung hari ini.-Bernama


