Pengalaman jadi sandaran Argentina – Scaloni

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KETUA Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, menghadiri sidang media sehari sebelum perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Atlanta, pada 14 Julai 2026 di Atlanta, Georgia. Foto AFP

ATLANTA, Amerika Syarikat:  Argentina Lionel Scaloni berkata pengalaman beraksi dalam kejohanan utama akan menjadi sandaran pasukan itu ketika ia membuat persiapan menghadapi England pada Rabu bagi merebut tempat ke final Piala Dunia, lapor Xinhua.

Perlawanan itu bakal menjadi penampilan kelima Argentina di peringkat separuh akhir dalam lima kejohanan utama terakhir, dengan pasukan itu memburu kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas muncul juara di Qatar pada 2022.

“Kami mempunyai sedikit pengalaman beraksi dalam perlawanan seperti ini. Ia tidak semestinya memberi kelebihan kepada kami, tetapi mungkin membuatkan kami lebih tenang.

“Ini merupakan separuh akhir kelima kami sebagai satu pasukan dan itu membuatkan kami lebih tenang. Para pemain tenang dan bersedia untuk perlawanan ini,” kata Scaloni.

Beliau berkata pasukannya sedang membuat persiapan bagi menghadapi ancaman pemain England, terutamanya Harry Kane dan Jude Bellingham, tanpa menyimpang daripada identiti permainan sendiri.

“…kami mungkin melakukan perubahan, atau mungkin mengulangi apa yang telah kami lakukan. Para pemain sendiri masih belum mengetahui kesebelasan utama,” katanya.

Scaloni berkata Argentina akan berusaha menguasai bola di samping mengehadkan peluang England melancarkan serangan balas.

“Ideanya ialah menguasai bola, dan apabila kami tidak menguasainya, kami tidak mahu lebih banyak bertahan,” kata Scaloni.

“Mereka mempunyai pemain-pemain berkualiti dengan kepantasan dan kelincahan, selain mampu menewaskan lawan dalam situasi satu lawan satu. Mereka memiliki pelbagai kelebihan. Kami mahu menguasai bola dan sudah tentu terdapat beberapa aspek taktikal yang akan diberi perhatian, di samping cuba mengejutkan mereka.”

Scaloni, yang membimbing Argentina sejak 2018, membawa pasukan itu ke separuh akhir Copa America pada 2019 sebelum menjuarai kejohanan itu pada 2021 dan 2024, selain menjulang Piala Dunia empat tahun lalu.

Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata beliau tidak menganggap kejayaan pasukannya mara ke separuh akhir sebagai sesuatu yang boleh diambil mudah.

“Saya sendiri tidak tahu sama ada saya pernah menjangkakan berada di kedudukan ini. Sebulan setengah lalu, saya sudah pun bersyukur jika kami berjaya sampai ke tahap ini, walau dengan apa cara sekali pun. Saya sudah cukup berpuas hati dengan itu,” katanya.

“Kami amat teruja berada di sini. Kami tidak melihat bagaimana kami sampai ke sini, yang penting kami berada di sini.”

Beliau berkata pencapaian itu wajar diberi pengiktirafan meskipun pasukannya masih bertekad untuk melangkah lebih jauh.

“Kami telah mencapai begitu banyak kejayaan sehingga kami sudah terbiasa dengannya. Namun saya ingin tegaskan bahawa kami berpuas hati dan bersyukur dengan apa yang telah kami capai. Pada masa sama, kami akan memberikan segala-galanya di atas padang esok untuk mara.” – Bernama-Xinhua