
ATLANTA, Georgia: Argentina akan menjadikan legenda bola sepak Diego Maradona sebagai sumber inspirasi ketika generasi baharu bintang mereka berusaha menewaskan England sekali lagi, lapor PA Media/dpa.
Ramai peminat England masih mengingati jaringan kontroversi “Tangan Tuhan” (Hand of God) oleh Maradona ketika pertemuan kedua-dua negara pada suku akhir Piala Dunia 1986, berbanding jaringan solo menakjubkan beliau selepas itu dalam kekalahan 2-1 skuad kendalian Bobby Robson di Estadio Azteca, Mexico City.
Empat puluh tahun kemudian, England dan Argentina akan bertemu dalam aksi separuh akhir di Atlanta pada awal pagi esok pukul 3.00 pagi (waktu Malaysia), dengan Lionel Messi mengetuai barisan pemain Amerika Selatan itu sambil membawa semangat wira mereka yang tersohor tersebut.
“Cuba melakukan apa yang Diego lakukan adalah sesuatu yang mustahil. Mungkin hanya Leo mampu melakukannya.
“Pelbagai video tersebar di media sosial baru-baru ini, terutamanya sejak beberapa hari lalu. Ia membantu kerana ia mengingatkan kita tentang makna Diego.
“Diego ialah simbol kepada negara kita, dan semoga kami dapat mencapai sesuatu seperti yang dilakukan oleh pasukan pada 1986,” kata pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister, kepada wartawan.
Argentina meneruskan usaha memburu trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan pada 1986, menyusuli kejuaraan pertama pada 1978. Mereka kini merupakan juara bertahan dan memburu gelaran keempat.
Namun, walaupun Mac Allister mengakui kejayaan melangkah ke separuh akhir empat tahun lalu memberikan beliau dan rakan sepasukan pengalaman berharga, beliau sedar pencapaian itu tidak membawa makna jika mereka gagal beraksi pada tahap terbaik ketika menentang England yang kental.
“Mereka mempunyai pemain berkualiti tinggi yang beraksi untuk kelab-kelab utama dan pernah tampil dalam kejohanan seperti ini.
“Beraksi di separuh akhir Piala Dunia sebelum ini merupakan satu kelebihan, namun ia tidak menjamin apa-apa,” katanya. – Bernama




