
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang menghuni ranking ke-118 dunia mencipta kejutan pada Terbuka Jepun 2026 apabila menewaskan pasangan nombor 14 dunia, sekali gus mara ke pusingan kedua hari ini.
Jimmy-Su Yin, menundukkan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara, 21-19, 11-21, 21-19, dalam pertarungan sengit yang berlanjutan selama satu jam pada aksi pusingan pertama.
Bagaimanapun, pasangan negara itu bakal berdepan cabaran lebih getir pada pusingan kedua apabila dijadualkan menentang pilihan keenam dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, buat julung kali.
Turut terselamat pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie yang hanya mengambil masa 33 minit untuk mengenepikan cabaran Zhi Yi Chen-Francesca Corbett, 21-13, 22-20, iaitu kejayaan kedua berturut-turut ke atas gandingan Amerika Syarikat itu dalam dua pertemuan setakat ini.
Cabaran lebih besar menanti Soon Huat-Lai Shevon apabila mereka dijadualkan berdepan beregu China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, selepas 11 pertembungan sebelum ini pasangan pasangan suami isteri itu hanya menang sekali.
Sementara itu, cabaran pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa berakhir selepas gagal menandingi kehebatan wakil Korea Selatan, Kim Ga Eun dengan kekalahan 16-21, 12-21, dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit.- Bernama



