
TIKET perlawanan antara Chelsea FC menentang Johor Daruk Ta’zim (JDT) boleh didapati melalui laman web tickethotline.
KUALA LUMPUR: Malaysia kini memasuki fasa akhir persiapan untuk menganjurkan perlawanan bola sepak antarabangsa berprestij antara gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 9 Ogos ini.
Pengarah Urusan TEG Sport Rachael Carroll berkata fokus utama pihak penganjur dalam tempoh beberapa minggu akan datang adalah memastikan setiap aspek operasi perlawanan, penyiaran dan pengalaman penyokong memenuhi standard antarabangsa tertinggi.
“Acara bola sepak antarabangsa bertaraf dunia ditentukan oleh segala persiapan yang dilakukan jauh sebelum sepak mula.
“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan penyokong dari Malaysia dan seluruh rantau ini ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan yang dijangka menjadi satu detik cukup bermakna,” katanya dalam kenyataan.
TEG Sport memaklumkan perlawanan berkenaan bakal menjadi medan terbaik bagi JDT menguji keupayaan menentang kelab elit Eropah untuk saingan domestik dan Asia manakala bagi Chelsea FC, ia merupakan platform untuk mendekati peminat mereka di Asia.
Menurut kenyataan itu, permintaan terhadap tiket perlawanan amat menggalakkan sejak jualan dibuka dengan kehadiran penyokong dari Malaysia, Singapura, Indonesia serta negara jiran lain dijangka melonjak.
Terdapat empat kategori utama tiket, iaitu Kategori A berharga RM654, Kategori B (RM454), Kategori C (RM254) dan Kategori D (RM154), manakala pas VIP dijual pada harga RM1,254.
Tiket untuk semua kategori boleh dibeli secara dalam talian menerusi platform rasmi tickethotline.com.my. – Bernama





