Gelombang Biru Johor: Analisis faktor dan hala tuju

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 48 kerusi daripada 56 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi.

Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pula gagal memenangi sebarang kerusi. Ternyata kemenangan BN di Johor sangat dominan, manakala pembangkang mengalami penolakan yang menyeluruh.

Namun kemenangan sebesar ini tidak wajar dipermudah sebagai ‘faktor Onn Hafiz’ semata-mata. Menteri Besar Johor membawa imej kestabilan, kesinambungan pentadbiran dan keyakinan terhadap haluan pembangunan negeri.

Gaya kepimpinannya yang aktif dan konsisten membawa naratif kemajuan menjadikan pilihan raya ini sebagai referendum terhadap prestasi kerajaan negeri. Akan tetapi, tokoh popular tidak mampu menghasilkan kemenangan 48 kerusi tanpa kekuatan organisasi yang menyokongnya.

Arkitek BN

Di sinilah jentera BN, khususnya UMNO, menjadi faktor penentu. Pilihan raya tetap dimenangi melalui kemampuan mengenal pasti pengundi, menyatukan penyokong, membawa keluar pengundi dan menyampaikan mesej hingga ke akar umbi.

Johor menunjukkan bahawa UMNO masih mempunyai kelebihan institusi yang sukar ditandingi lawan apabila seluruh struktur parti bergerak dalam satu arah. Faktor Onn Hafiz menjadi pemangkin, tetapi jentera, disiplin dan kesatuan organisasi menjadi enjin sebenar kemenangan.

Dalam konteks lebih luas, peranan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO tidak boleh dipisahkan daripada pemulihan tersebut. Zahid ialah antara pemimpin yang bertahan ketika UMNO berada pada titik paling lemah selepas kekalahan 2018, perpecahan dalaman, penghijrahan pemimpin dan kehilangan keyakinan sebahagian ahli.

Pada waktu itu, ada yang menjauh dan meninggalkan parti kerana menganggap UMNO tidak lagi mempunyai masa depan. Zahid pula sanggup mempertahankan UMNO dan kekal memimpin ketika jawatan itu lebih banyak membawa beban daripada keuntungan politik.

Ketabahan itu tidak menjadikan semua keputusan beliau kebal daripada kritikan. Namun secara organisasi, kesanggupan untuk bertahan ketika susah, jatuh dan dipersoalkan telah memberikan beliau kedudukan sebagai arkitek penting dalam proses pemulihan dalaman UMNO.

Politik bukan hanya tentang siapa hadir ketika menang, tetapi siapa memikul parti ketika kalah. Dari sudut ini, kemenangan Johor ialah hasil satu proses panjang membina semula keyakinan, mengurus perbezaan dalaman dan mengembalikan disiplin kepada sebuah parti yang pernah kehilangan arah.

Naratif Rumah Bangsa

Konsep ‘Rumah Bangsa’ menjadi sebahagian daripada usaha tersebut. Gagasan itu berfungsi sebagai seruan agar keluarga besar UMNO kembali berada di bawah satu bumbung termasuk mereka yang kecewa, tersisih, pasif atau pernah menjauh.

Ia bukan slogan nostalgia semata-mata, tetapi strategi penyatuan politik: mengurangkan permusuhan dalaman, memulihkan rasa memiliki dan menerima kembali mereka yang pernah berbeza pandangan.

Johor memperlihatkan bahawa konsep tersebut mula diterjemahkan kepada tindakan. Penyatuan organisasi menghasilkan jentera yang lebih tersusun, mesej yang lebih seragam dan pemindahan undi yang lebih berkesan.

Serangan pembangkang yang terlalu tertumpu kepada Zahid dan UMNO pula membawa kesan songsang. Apabila kempen terlalu peribadi dan melampaui persoalan dasar, sebahagian pengundi melihatnya sebagai usaha menghukum tanpa henti. Dari situlah lahir simpati, solidariti dan keinginan untuk mempertahankan parti yang dianggap terus ditekan.

Cabaran

BN perlu kekal merendah diri, insaf dan tawaduk atas pencapaian ini. Gelombang biru hanya mempunyai makna sekiranya diterjemahkan kepada tadbir urus yang lebih baik, peluang pekerjaan lebih berkualiti, upah yang sepadan dengan pertumbuhan ekonomi, perumahan mampu milik, penyelesaian kesesakan dan manfaat nyata daripada projek besar seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta Sistem Transit Rapid (RTS).

Kemenangan besar meningkatkan harapan; kegagalan memenuhinya juga mengundang hukuman besar.

Bagi PH, kekalahan ini tidak boleh dijelaskan sekadar melalui kelemahan jentera atau kekurangan masa berkempen. PH sebenarnya membawa beberapa tawaran ekonomi dan sosial, tetapi gagal menjadikannya satu naratif politik yang ringkas, jelas dan menyentuh emosi pengundi.

BN menawarkan pertanyaan mudah, iaitu teruskan kestabilan atau ambil risiko perubahan. PH pula membawa banyak isu tanpa satu tema induk yang benar-benar melekat dalam fikiran rakyat.

Masalah PH juga bersifat struktural. Identitinya semakin kabur, hubungan dengan pengundi tradisional tidak lagi sekuat dahulu, jentera antara kawasan tidak sekata dan pergantungannya kepada tokoh pusat terlalu besar.

PH turut gagal menjelaskan secara meyakinkan bagaimana persaingannya dengan BN di Johor dapat diselaraskan dengan kerjasama kedua-duanya dalam Kerajaan Persekutuan. Hubungan itu membingungkan: rakan di Putrajaya tetapi lawan keras di negeri. Kekeliruan tersebut mengurangkan kejelasan pilihan.

Bergerak ke depan

PH juga perlu belajar bahawa serangan peribadi bukan pengganti kepada tawaran politik. Apabila kritikan tidak lagi berpijak pada dasar, prestasi dan angka, ia mudah menghasilkan simpati terhadap lawan.

Untuk kembali berdaya saing, PH mesti membina semula akar umbi, mengetengahkan kepimpinan tempatan, mengukur pencapaian secara terbuka dan mengemukakan satu cerita besar tentang masa depan rakyat bukan sekadar mengingatkan pengundi tentang kelemahan BN.

PAS pula berdepan dilema yang lebih rumit. Secara rasmi, parti itu berada dalam PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Namun di peringkat akar umbi Melayu, terdapat dorongan untuk meredakan permusuhan dengan UMNO.

Di Johor, keengganan PAS menggerakkan jenteranya sepenuhnya bagi membantu Bersatu telah melemahkan PN sebagai gabungan. PAS tidak boleh terlalu lama menjalankan politik dua landasan, iaitu bersama Bersatu di atas pentas, tetapi membuka isyarat persefahaman dengan UMNO di bawah.

Jika keadaan ini berterusan, PAS boleh kehilangan kepercayaan kedua-dua pihak. Penyokong PN akan mempersoalkan kesetiaannya, manakala UMNO pula belum tentu mahu menerimanya sebagai rakan rasmi.

PAS perlu memilih sama ada mahu memperkukuh PN, membuka rundingan baharu dengan UMNO atau bergerak secara lebih autonomi. Kekaburan mungkin memberikan ruang taktikal dalam jangka pendek, tetap iakan merosakkan kredibiliti dalam jangka panjang.

Jalan masih panjang

Ujian seterusnya ialah Negeri Sembilan. BN tidak boleh menganggap negeri itu sebagai Johor kedua. PH mempunyai tapak lebih kukuh di kawasan bandar, separa bandar dan kerusi campuran.

Isu setempat, kekuatan calon, prestasi kerajaan negeri serta sentimen terhadap kepimpinan tempatan akan lebih menentukan daripada gema kemenangan di Johor. Momentum psikologi membantu, tetapi momentum tidak berpindah secara automatik merentas sempadan negeri.

Sasaran realistik BN ialah mempertahankan kerusi tradisional, menawan kawasan marginal, menarik pengundi Melayu yang sedang menilai semula pilihan dan mengurangkan kelebihan PH dalam kalangan pengundi campuran.

BN juga memerlukan tokoh tempatan yang berwibawa serta naratif khusus tentang kos sara hidup, perumahan, peluang ekonomi, pembangunan luar bandar dan kecekapan pentadbiran. Tanpa semua itu, ‘gelombang biru’ boleh berhenti sebagai fenomena Johor.

Bagi PH, Negeri Sembilan ialah peluang untuk membuktikan bahawa kekalahan Johor bukan tanda kemerosotan nasional. Bagi PN, ia adalah ujian sama ada PAS dan Bersatu mampu bertindak sebagai satu gabungan sebenar, bukan dua organisasi yang sekadar berkongsi logo.

Bagi UMNO pula, ia merupakan medan untuk membuktikan bahawa kebangkitan parti bukan hanya bergantung pada populariti Onn Hafiz atau kekuatan ekosistem politik Johor.

Rumusan

Kemenangan Johor bukan bukti bahawa semua negeri akan kembali kepada BN. Namun ia membuktikan bahawa UMNO telah memulihkan daya saingnya.

Pemulihan itu terbina daripada kepimpinan negeri yang berkesan, jentera yang kembali berdisiplin, penyatuan melalui gagasan Rumah Bangsa dan ketabahan kepimpinan Zahid Hamidi ketika parti ditinggalkan oleh mereka yang hanya mahu bersama pada waktu kuat.

Kini UMNO telah bergerak daripada fasa bertahan kepada fasa kebangkitan. Cabaran berikutnya ialah memastikan kebangkitan itu bukan sekadar kemenangan pilihan raya, tetapi permulaan kepada pembaharuan kepimpinan, pengukuhan tadbir urus dan peningkatan khidmat kepada rakyat.

Gelombang biru mungkin telah bermula di Johor, tetapi kelangsungannya bergantung pada kemampuan UMNO membuktikan bahawa kesetiaan ketika susah akhirnya diterjemahkan kepada amanah ketika berkuasa.

Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Rancangan Colombo dan Sarawak

SELEPAS tamatnya Perang Dunia Kedua, keadaan di Sarawak mengalami kemerosotan yang agak serius dan memerlukan pemulihan untuk mengembalikan kemakmuran sebelum