

OPERASI pemadaman kebakaran di Ladang Nanas Kampung Pusa memasuki hari kedua hari ini. Foto PGO JBPM Sarawak
PUSA: Operasi pemadaman kebakaran terbuka di Ladang Nanas Kampung Pusa, bahagian Betong, dan kebakaran hutan di Taman Negara Niah masih diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, operasi di Ladang Nanas Kampung Pusa memasuki hari kedua dengan Ketua Balai bersama tiga anggota bergerak ke lokasi pada 9.45 pagi untuk meneruskan kerja pemadaman dan pemantauan.
Setakat ini, kebakaran di ladang nanas itu melibatkan kawasan seluas 1.01 hektar, dengan 0.61 hektar berjaya dipadamkan, manakala baki 0.40 hektar masih terbakar dan sedang dipadamkan.
Sementara itu, operasi di Taman Negara Niah memasuki hari ketiga apabila pasukan bomba memulakan operasi pemadaman menggunakan helikopter menerusi teknik pengeboman air (water bombing) pada 9.45 pagi bagi mempercepat usaha mengawal kebakaran di kawasan hutan berkenaan.
PGO memaklumkan kebakaran di Taman Negara Niah melibatkan kawasan seluas 1.62 hektar, dengan 0.81 hektar berjaya dipadamkan, manakala baki 0.81 hektar masih terbakar.
Menurut JBPM Sarawak, penggunaan helikopter dalam operasi itu bertujuan memadam kebakaran di kawasan yang sukar diakses melalui laluan darat, sekali gus meningkatkan keberkesanan operasi.
Operasi di kedua-dua lokasi akan diteruskan sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya, selain memastikan tiada risiko api merebak ke kawasan berhampiran yang boleh mengancam keselamatan awam dan alam sekitar.
JBPM Sarawak turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan di kedua-dua lokasi dan mengambil tindakan sewajarnya sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat.
Oleh Adi Safarman





