

ANGGOTA bomba menjalankan operasi memadam kebakaran tanah gambut di sebuah ladang di Kampung Sungai Kelili. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadamkan kebakaran tanah gambut seluas kira-kira setengah ekar di sebuah ladang di Kampung Sungai Kelili, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.01 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Wan Azri, segera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran terbuka yang melibatkan tanah gambut seluas kira-kira setengah ekar.
“Komander operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap bagi memastikan operasi pemadaman dilaksanakan dengan selamat,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian membentangkan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air terbuka melalui pam angkut bagi memadamkan kebakaran.
“Operasi pemadaman berjalan lancar dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Operasi di lokasi tamat sepenuhnya pada 3.40 petang,” katanya.





