Wanita disyaki keldai akaun ditahan, kerugian penipuan cecah lebih RM109,000

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LUBOK ANTU: Tindakan seorang wanita tempatan dipercayai berperanan sebagai ‘keldai akaun’ dalam beberapa kes penipuan dalam talian akhirnya membawa padah apabila diberkas polis dalam satu operasi di kawasan Pekan Lubok Antu, pagi tadi.

Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, suspek yang berusia awal 20an ditahan sepasukan polis diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Lubok Antu, Inspektor Muhammad Asyraf Azmi, bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penipuan kewangan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai keldai akaun yang digunakan sindiket untuk menerima dan memindahkan wang mangsa dalam beberapa kes penipuan yang dilaporkan di beberapa negeri.

SEORANG wanita tempatan berusia awal 20-an diberkas polis selepas dipercayai berperanan sebagai ‘keldai akaun’ yang digunakan dalam beberapa kes penipuan membabitkan kerugian melebihi RM109,448.05 di empat negeri. Foto: IPD Lubok Antu

Kesalahan itu melibatkan dua kes pelaburan tidak wujud, satu kes penipuan tawaran pekerjaan dan satu kes pinjaman tidak wujud dengan jumlah keseluruhan kerugian melebihi RM109,448.05.

Mangsa-mangsa penipuan terbabit dilaporkan berasal dari Pulau Pinang, Sabah, Pahang dan Kedah, sekali gus menunjukkan kegiatan sindiket berkenaan melibatkan rangkaian yang merentas negeri.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada suspek mempunyai kaitan dengan individu lain atau sindiket penipuan yang lebih besar serta mengesan pihak-pihak yang masih bebas.

Dalam pada itu, PDRM menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyerahkan akaun bank, kad ATM atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu atau pihak, walau dengan apa alasan sekalipun kerana ia boleh disalahgunakan untuk aktiviti jenayah dan penipuan.

Menurut kenyataan itu lagi, individu yang didapati bertindak sebagai keldai akaun boleh didakwa di bawah Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Oleh Adi Safarman