Terbuka Jepun: Jun Hao lepasi halangan pertama, Tang Jie-Clarissa tersingkir

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
JUN Hao mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun 2026 selepas mengejutkan pemain Taiwan Chi Yu Jen, manakala gandingan baharu beregu campuran negara Chen Tang Jie-Clarissa San tersingkir pada aksi pembukaan di Tokyo.

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao memulakan kempen Terbuka Jepun 2026 dengan langkah kanan selepas mengejutkan pemain Taiwan Chi Yu Jen pada pusingan pertama di Tokyo hari ini.

Pada aksi pembukaan di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jun Hao yang menghuni ranking ke-30 dunia menewaskan pemain ke-19 dunia itu 21-19, 21-16 dalam tempoh 50 minit.

Jun Hao akan berdepan pilihan kelima dari Perancis Christo Popov pada pusingan kedua selepas pemain berkenaan menewaskan wakil China Weng Hong Yang 21-14, 23-21.

Bagaimanapun, perseorangan wanita negara Wong Ling Ching tersingkir awal selepas tewas 14-21, 11-21 kepada bekas juara dunia dari India Pusarla V Sindhu.

Sementara itu, penampilan sulung juara dunia beregu campuran 2025 Chen Tang Jie bersama gandingan baharu Clarissa San tidak menjadi apabila mereka tersingkir pada pusingan pertama.

Tang Jie-Clarissa tewas 15-21, 19-21 kepada pasangan Taiwan Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang.

Tang Jie bergandingan dengan Clarissa secara sementara selepas pasangan tetapnya Toh Ee Wei mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika beraksi di Terbuka Singapura 2026 pada Mei lepas.

Turut tersingkir pada pusingan pertama ialah pasangan beregu campuran profesional Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien selepas tewas 13-21, 18-21 kepada pasangan pilihan kelima dari China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.

Dalam saingan beregu lelaki, pasangan negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King gagal meneruskan rekod kemenangan ke atas gandingan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Presley Smith apabila tewas 24-26, 21-15, 18-21 dalam pertarungan yang berlarutan selama 62 minit. – Bernama