Festival Kuching 2026 perkukuh hubungan budaya dan perdagangan antarabangsa

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO Wee Hong Seng bercakap pada program pelancaran Festival Kuching 2026 di MBKS hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Festival Kuching 2026 bukan sahaja menjadi platform meraikan kepelbagaian budaya, malah memperkukuh hubungan antarabangsa menerusi penglibatan bandar raya persahabatan dari China, Republik Korea Selatan dan Jepun, selain membuka ruang kepada kerjasama perdagangan bersama rakan global.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, hubungan yang terjalin dengan bandar raya persahabatan bukan sahaja melibatkan kerjasama rasmi, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk memahami budaya, tradisi serta cara hidup komuniti antarabangsa.

“Seni, muzik dan budaya memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat serta membina persefahaman merentasi sempadan.

“Inisiatif tersebut mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua bandar raya yang terus berkembang menerusi pertukaran budaya serta kerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika program pelancaran Festival Kuching 2026, di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini. 

Antara pengisian utama ialah pelancaran Jalan Guro pada 31 Julai sebagai simbol persahabatan yang berkekalan antara Kuching dan Guro, Republik Korea Selatan.

Selain itu, Malam Bandar Raya Persahabatan Antarabangsa yang berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos di Teater MBKS bakal menampilkan persembahan kebudayaan daripada bandar raya persahabatan Kuching.

Antara bandar raya yang terlibat ialah Zhenjiang, Quanzhou dan Zhengzhou dari China, Guro dari Republik Korea serta Asuke, Bandar Toyota di Jepun.

Persembahan tersebut akan mengetengahkan keunikan warisan, muzik dan seni tradisional setiap bandar raya, sekali gus meraikan hubungan persahabatan yang telah terjalin bersama Kuching.

Festival Kuching 2026 yang berlangsung dari 22 Julai hingga 16 Ogos ini bakal menjadi medan pertukaran budaya, seni dan peluang perniagaan, sekali gus mencerminkan peranan Kuching sebagai sebuah bandar raya yang menghubungkan komuniti tempatan dengan dunia luar.

Oleh Adele Rissa

NADMA giat nilai keperluan PPS di Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang giat menilai keperluan kemudahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak