
KUCHING: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran yang melibatkan sebuah dapur di luar sebuah rumah di Taman Pecky Park, Jalan Kenyalang, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 8.31 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan tiba di lokasi dua minit kemudian.
Operasi yang diketuai Romi Manshor mendapati kebakaran hanya melibatkan bahagian dapur di luar rumah.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Kenderaan Bomba Penyelamat (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi berkenaan.
Selepas komander operasi menjalankan penilaian risiko dan mengesahkan kawasan berada dalam keadaan selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada 8.53 pagi sebelum kembali ke balai.


