
BETONG: Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong selepas disyaki memiliki dadah dan terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam satu operasi di kawasan Pusa, semalam.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, suspek ditahan kira-kira 11.30 pagi sebelum dibawa ke IPD Betong untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Siasatan lanjut turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.
DSP Wan Mohamad Ali menegaskan bahawa IPD Betong memandang serius kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Betong kepada Balai Polis Betong di talian 083-472345 bagi membantu usaha membanteras jenayah narkotik.
Oleh Adi Safarman


