Rumah kedai tiga tingkat di Sibu terbakar 80 peratus

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA bomba sedang memadamkan kebakaran rumah kedai tiga tingkat di Jalan Hou Ping awal pagi tadi. Foto Bomba

SIBU: Sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Hou Ping di sini mengalami kerosakan kira-kira 80 peratus pada bahagian tingkat bawah selepas terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Zon Bomba Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.34 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota mendapati api sedang marak di tingkat bawah bangunan berstruktur kekal berukuran kira-kira 20 x 40 kaki persegi itu.

“Operasi berjaya dikawal pada 12.46 pagi dan ditamatkan pada 1.05 pagi selepas anggota memastikan tiada lagi punca api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemilik premis masih belum dikenal pasti, manakala tiada penghuni berada di tingkat dua dan tiga ketika kejadian. 

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Tarani Lanting