
SIBU: Tempoh peralihan pelaksanaan Sistem Parkir Pintar SMC Cares dilanjutkan sehingga 31 Disember ini bagi memberi lebih banyak masa kepada pengguna menyesuaikan diri dengan sistem parkir digital sebelum penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta pihak MPS bagi meneliti isu dan cabaran yang timbul sepanjang pelaksanaan sistem berkenaan sejak 1 Julai lalu.
“Tempoh dari 1 Julai hingga 31 Disember ini merupakan tempoh peralihan. Dalam tempoh ini, kita mahu memberi penekanan kepada pendidikan dan membantu orang ramai menyesuaikan diri dengan sistem parkir digital, bukannya terus menguatkuasakan tindakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, sepanjang tempoh tersebut pengguna yang masih mempunyai kupon parkir fizikal dibenarkan menggunakannya sehingga habis, manakala MPS bersama penyedia perkhidmatan akan memperbanyakkan video panduan, kaunter bantuan dan petugas parkir bagi membantu orang ramai menggunakan aplikasi SMC Cares.
“Bagi memudahkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, mereka dibenarkan mendaftarkan sebuah kenderaan di bawah akaun SMC Cares milik anak masing-masing supaya caj parkir dipotong secara automatik apabila nombor pendaftaran kenderaan diimbas.
“Pengguna juga boleh memilih pas parkir bulanan digital bernilai RM40,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tiang mengumumkan kadar Notis Lebihan Tempoh Parkir (OPN) dikurangkan daripada RM1 kepada 50 sen bagi setiap 30 minit sepanjang tempoh peralihan sehingga 31 Disember ini.
“Pengguna yang telah membayar kadar RM1 sejak 1 Julai lalu akan menerima pemulangan lebihan bayaran secara automatik ke dalam akaun SMC Cares masing-masing,” tambahnya.
Mengenai Notis Kesalahan Parkir bernilai RM10, beliau berkata pengguna yang dikenakan notis akibat gangguan sistem atau masalah teknikal boleh mengemukakan rayuan kepada MPS dan setiap permohonan akan dipertimbangkan mengikut kes.
Bagaimanapun, katanya, rayuan tidak akan dipertimbangkan bagi mereka yang sengaja gagal membuat bayaran parkir.
Beliau turut menjelaskan tindakan mengeluarkan kompaun RM150 terhadap kesalahan parkir haram adalah sah di sisi undang-undang mengikut Road Transport (Provision of Parking Places) (Sibu Municipal Council) Order 2024.
Katanya, penguatkuasaan itu penting bagi memastikan semua pengguna meletakkan kenderaan di petak parkir yang disediakan sekali gus mengurangkan kesesakan dan gangguan terhadap pengguna jalan raya serta premis perniagaan.
Oleh Tarani Lanting




