Maxim Malaysia perkukuh ciri keselamatan dengan pertingkat sistem SOS

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Maxim Malaysia menambah baik ciri keselamatan dalam aplikasinya menerusi sistem SOS yang dipertingkat bagi membolehkan rakan pemandu dan penumpang mendapatkan bantuan dengan lebih pantas ketika berdepan situasi kecemasan.

Syarikat e-panggilan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penambahbaikan berkenaan merangkumi butang SOS yang lebih pantas dan dipercayai, keupayaan menghantar pemberitahuan kepada hingga tiga kenalan kecemasan, serta Sistem Amaran Pemandu untuk membantu rakan-pemandu yang mengalami kecemasan di jalan raya.

Menurut kenyataan itu, fungsi butang SOS kini diseragamkan untuk kedua-dua penumpang dan rakan pemandu, membolehkan pengguna sama ada menghubungi talian kecemasan 999 atau menghantar amaran kepada kenalan kecemasan yang telah didaftarkan.

“Penerima amaran akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi lokasi GPS tepat serta pautan penjejakan perjalanan secara langsung, dan pemberitahuan itu masih boleh dihantar walaupun sambungan Internet tidak stabil,” menurut kenyataan itu.

Bagi rakan pemandu, Sistem Amaran Pemandu membolehkan pemberitahuan mengenai jenis kecemasan, dan lokasi kejadian dihantar kepada rakanpemandu Maxim lain dalam lingkungan hingga tiga kilometer bagi membolehkan bantuan awal diberikan sementara menunggu ketibaan pasukan kecemasan. 

Sementara itu, Pengarah Maxim Malaysia Mohd Hazwan Musli berkata penambahbaikan itu memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan bantuan mengikut situasi kecemasan yang dihadapi.

“Keselamatan sentiasa menjadi aspek penting dalam setiap perjalanan, dan penambahbaikan terbaharu ini menjadikan proses mendapatkan bantuan lebih fleksibel dan pantas.

“Kini, pengguna bukan sahaja boleh menghantar amaran standard, malah mempunyai pilihan untuk menentukan pihak yang perlu dimaklumkan terlebih dahulu sama ada ahli keluarga, pasukan penyelamat profesional, atau rakan-pemandu Maxim yang berada berdekatan,” katanya.

Beliau berkata semua pilihan itu boleh diakses dalam beberapa saat dan masa yang dijimatkan untuk mendapatkan bantuan mungkin menjadi faktor penting dalam situasi kecemasan.

Kenyataan itu memaklumkan, Maxim turut menawarkan pelbagai ciri keselamatan lain termasuk fungsi sembang dalam aplikasi yang melindungi privasi pengguna, sistem pemantauan perjalanan yang merekodkan maklumat penting setiap perjalanan termasuk penjejakan GPS, serta ciri Perkongsian Perjalanan yang membolehkan penumpang berkongsi pautan penjejakan perjalanan secara langsung dengan ahli keluarga atau rakan.

Menurut kenyataan itu, semua data yang dihantar melalui fungsi SOS, Sistem Amaran Pemandu dan Perkongsian Perjalanan disulitkan mengikut piawaian keselamatan moden serta hanya boleh diakses oleh petugas keselamatan, yang diberikan kuasa dan pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan mengikut prosedur yang ditetapkan. – Bernama