
SIBU: Kemenangan meyakinkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan rakyat terus meletakkan keutamaan kepada kerajaan yang berprestasi, stabil dan mampu menyampaikan perkhidmatan secara berkesan.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Christopher Gira Sambang berkata, walaupun Johor dan Sarawak mempunyai landskap politik serta demografi yang berbeza, keputusan itu membawa mesej jelas bahawa keyakinan rakyat perlu terus diperkukuh melalui prestasi dan tadbir urus yang baik.
“Kepercayaan rakyat tidak boleh diambil mudah. Ia perlu dipupuk secara berterusan melalui prestasi, integriti dan sistem penyampaian yang cekap.
“Projek pembangunan mesti dilaksanakan mengikut jadual, perkhidmatan awam perlu terus dipertingkatkan dan manfaat pembangunan mesti sampai ke seluruh pelosok Sarawak, khususnya kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin berkata, bagi Sarawak, keputusan PRN Johor mengukuhkan lagi kepentingan mengekalkan kekuatan yang membolehkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus meraih kepercayaan rakyat menerusi kestabilan politik, kepimpinan kukuh dan tadbir urus yang berkesan.
Menurutnya, Pemuda PRS akan terus memperkukuh jentera akar umbi, mendekati golongan belia serta melahirkan pemimpin pelapis yang mampu menjadi penghubung antara aspirasi anak muda dengan dasar kerajaan.
“Golongan muda kini mahukan lebih daripada retorik politik, sebaliknya mengharapkan peluang pekerjaan berkualiti, pendidikan yang baik, sokongan keusahawanan, capaian digital serta peluang menyumbang kepada pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan PRS akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam GPS bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat luar bandar, memperkukuh representasi masyarakat Dayak serta menyokong usaha kerajaan Sarawak memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan.
Sehubungan itu, katanya, menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang, Pemuda PRS bersedia bekerjasama dengan kepimpinan parti dan rakan komponen GPS untuk terus memperkukuh keyakinan rakyat, memperkasa golongan muda serta memastikan Sarawak kekal berada di landasan pembangunan dan kemajuan.
Oleh Tarani Lanting


