
KOTA SAMARAHAN: Seramai 19 pelajar bersama seorang pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2 menyertai lawatan akademik ke Jakarta dan Bandung, Indonesia bagi memperkukuh pengetahuan serta pendedahan terhadap industri pelancongan dan hospitaliti di peringkat antarabangsa.
Program yang dilaksanakan di bawah kursus HTT353 (Perancangan dan Pemanduan Pelancongan) itu dikendalikan oleh pensyarah kursus, Nurafiqah Mohamad Musa.
Kemuncak lawatan tersebut ialah kunjungan ke Politeknik Pariwisata NHI Bandung yang memberi peluang kepada pelajar mengenali sistem pendidikan berasaskan industri, meninjau kemudahan latihan bertaraf profesional serta bertukar pandangan dengan pensyarah dan pelajar institusi berkenaan.
Program dimulakan dengan sesi pertukaran budaya yang menyaksikan pelajar UiTM mempersembahkan tarian tradisional sambil memperagakan pakaian pelbagai etnik Sarawak, manakala sebahagian lagi mengenakan pakaian korporat rasmi universiti.
Selain itu, pembentangan mengenai Sarawak yang disampaikan oleh pelajar memperkenalkan kedudukan geografi negeri, kepelbagaian etnik, pakaian tradisional, warisan budaya serta makanan ikonik termasuk Kek Lapis Sarawak kepada warga Politeknik Pariwisata NHI Bandung.

Suasana turut dimeriahkan dengan sesi pembelajaran loghat Sarawak yang memberi peluang kepada peserta dari Indonesia mempelajari beberapa ungkapan yang sering digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat negeri ini.
Sebagai membalas perkongsian tersebut, pihak Politeknik Pariwisata NHI Bandung mempersembahkan demonstrasi permainan angklung, alat muzik tradisional Indonesia yang diperbuat daripada buluh.
Persembahan itu menjadi lebih meriah apabila lagu Rasa Sayang dimainkan sehingga mencetuskan suasana mesra apabila pelajar kedua-dua institusi menyanyi dan menari bersama.
Pelajar UiTM turut diberi peluang mencuba sendiri memainkan angklung, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap warisan budaya Indonesia serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di rantau Asia Tenggara.
Program diakhiri dengan lawatan berpandu ke sekitar kampus Politeknik Pariwisata NHI Bandung yang memberi peluang kepada peserta melihat kemudahan pembelajaran dan latihan praktikal termasuk makmal hospitaliti, kulinari dan pengurusan pelancongan.
Lawatan itu berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh pengetahuan, meningkatkan kompetensi profesional serta memperluaskan perspektif pelajar terhadap pendidikan dan industri pelancongan antarabangsa, di samping mengeratkan hubungan akademik antara UiTM Cawangan Sarawak dan Politeknik Pariwisata NHI Bandung melalui perkongsian ilmu serta pertukaran budaya.


