Bintang ‘Jurassic Park’ Sam Neill meninggal dunia pada usia 78 tahun

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PELAKON Sam Neill bergambar ketika sidang media bagi filem Jurassic Park III di sebuah hotel di Tokyo pada 26 Julai 2001. Foto fail AFP

SYDNEY, Australia: Bintang filem Jurassic Park, Sam Neill, meninggal dunia pada usia 78 tahun, menurut kenyataan keluarganya yang menyifatkan pemergian pelakon kesayangan ramai itu sebagai “secara mengejut dan tidak dijangka”.

“Sam dikelilingi ahli keluarga dan menghembuskan nafas terakhir dengan penuh maruah, sebagaimana beliau menjalani seluruh kehidupannya,” menurut kenyataan tersebut.

Pelakon kelahiran New Zealand yang terkenal menerusi watak Dr. Alan Grant dalam filem pecah panggung Jurassic Park pada 1993 itu mendedahkan dalam memoirnya yang diterbitkan pada 2023 bahawa beliau “berkemungkinan sedang menghadapi saat-saat akhir kehidupan” selepas disahkan menghidap limfoma bukan Hodgkin tahap tiga.

Bagaimanapun, awal tahun ini beliau mengumumkan dirinya bebas daripada kanser hasil terapi genetik yang mengubah suai sistem imunnya.

Kenyataan keluarga memaklumkan bahawa Neill “kekal bebas daripada kanser”.

“Kehilangannya berlaku secara mengejut dan tidak dijangka, namun kami bersyukur kerana Sam kekal bebas daripada kanser,” menurut kenyataan itu lagi.

Keluarganya berkata, Neill sedang menerima rawatan di Hospital Swasta St Vincent, Sydney ketika menghembuskan nafas terakhir.

Kerjaya lakonan Neill bermula pada era 1970-an dan merangkumi puluhan watak dalam filem serta drama televisyen, termasuk Peaky Blinders, The Hunt for Red October dan The Piano.

Di luar dunia lakonan, Neill turut mengusahakan ladang anggur di wilayah Central Otago yang indah di Pulau Selatan New Zealand. – AFP