Australia bakal lancar kad penumpang digital untuk semua ketibaan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GAMBAR hiasan. Foto AGENSI

CANBERRA: Kerajaan Australia hari ini mengumumkan bakal melancarkan kad penumpang digital untuk semua ketibaan antarabangsa dalam tempoh 18 bulan akan datang sekali gus menamatkan pergantungan pada kad kertas, lapor Xinhua.

Menteri Dalam Negeri Tony Burke berkata hari ini, kerajaan persekutuan akan membelanjakan A$56.1 juta (AS$38.9 juta) dalam tempoh empat tahun akan datang untuk pemodenan pengembara di lapangan terbang, termasuk pelaksanaan kad penumpang digital di seluruh negara.

Pelancaran nasional akan dijalankan susulan kejayaan percubaan Pengisytiharan Pengembara Australia digital, yang ditawarkan sebagai alternatif bagi kad penumpang kertas untuk beberapa penerbangan Qantas ke Sydney, Melbourne dan Brisbane sejak Oktober 2024.

Burke berkata dalam satu kenyataan bersama dengan Menteri Perdagangan dan Pelancongan Don Farrell, Pemangku Menteri Pengangkutan Kristy McBain dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Julie Collins, bahawa lebih 450,000 penumpang telah mencuba sistem digital berkenaan dan ia telah mencapai kejayaan yang ketara.

Menteri berkata sistem itu akan diperluas kepada penerbangan Qantas ke Perth dan Adelaide sebelum penghujung 2026, sebelum diperkenalkan ke semua lapangan terbang dan pelabuhan antarabangsa dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Sistem digital membolehkan pengembara memasukkan butiran peribadi mandatori dan pengisytiharan kastam mereka tiga hari sebelum perjalanan mereka dan bukannya mengisi kad kertas ketika dalam transit atau semasa ketibaan di Australia.

Farrell berkata sistem itu akan menjadikan Australia tempat yang lebih mudah dan mesra untuk dikunjungi.

“Menjadikan ketibaan lebih mudah dan pantas bermakna pelawat boleh meluangkan sedikit masa mengisi borang dan lebih banyak masa menikmati segala yang ditawarkan oleh Australia,” katanya.

Menurut kerajaan, inisiatif pemodenan itu akan membantu agensi sempadan menguruskan pertumbuhan kukuh dalam jumlah pengembara menjelang Sukan Olimpik dan Paralimpik Brisbane 2032. – Bernama