Kebakaran besar bar di Bangkok ragut sekurang-kurangnya 27 nyawa

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PIHAK berkuasa Thailand menjalankan siasatan di lokasi kebakaran bar di Bangkok yang disifatkan antara tragedi kebakaran paling maut dalam tempoh hampir dua dekad. Foto AFP

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 27 maut manakala puluhan lagi cedera dalam kebakaran besar yang melanda sebuah bar di Bangkok, menurut pihak berkuasa dan saksi pada hari ini.

Kejadian itu merupakan insiden kebakaran paling dahsyat membabitkan premis hiburan di Thailand dalam tempoh hampir dua dekad.

Orang ramai dilaporkan bertempiaran keluar dari premis berkenaan di pinggir ibu negara Thailand pada malam Ahad ketika api marak keluar dari pintu masuk.

Beberapa mangsa dilihat mengalami kecederaan apabila pakaian mereka terbakar atau disambar api, menurut rakaman video yang disahkan oleh Agensi Berita AFP.

Wartawan AFP melihat beberapa beg mayat diletakkan di luar bar dan restoran Rong Beer Na Lat Phrao pada awal pagi tadi (waktu tempatan), sebelum anggota forensik polis mula menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian yang musnah akibat kebakaran.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, api merebak dengan pantas sehingga ke bahagian siling premis, manakala asap dipercayai menjadi punca utama kematian mangsa.

“Kebakaran merebak dengan sangat cepat sehingga mencapai siling. Asap berkemungkinan menjadi punca utama kematian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, seramai 27 disahkan maut manakala 63 lagi dimasukkan ke hospital akibat kecederaan, termasuk 22 mangsa yang berada dalam keadaan kritikal.

Katanya, pihak berkuasa telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Kebakaran itu merupakan insiden paling maut di Thailand sejak kebakaran di kelab Santika, Bangkok ketika sambutan Tahun Baharu pada 2009 yang mengorbankan 67 nyawa dan mencederakan lebih 200 individu.

KEBAKARAN besar yang melanda sebuah bar di Bangkok meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa dan mencederakan puluhan orang, menyebabkan pengunjung bertempiaran keluar sambil menjerit ketika api marak keluar dari pintu masuk, menurut pihak berkuasa dan rakaman video yang disahkan oleh AFP. Foto AFP

Chadchart berkata, sebahagian mangsa ditemui berhampiran pintu keluar kecemasan yang dipercayai mungkin terhalang.

Pemandu teksi motosikal, Surin Jaiharn berkata, beliau melihat api menjulang keluar dari pintu bar sebelum membantu kira-kira lima individu yang melarikan diri dengan keadaan kulit melecur dan mengalami kecederaan akibat terbakar.

“Saya berasa sangat tertekan. Saya melihat ramai yang meninggal dunia dan saya tidak tahu nasib mereka yang saya bantu,” katanya.

Lelaki berusia 45 tahun itu berkata, beliau menggunakan kain untuk memadam api pada badan mangsa, manakala seorang lagi pemandu membantu membawa seorang wanita keluar dari kawasan berbahaya.

Pihak berkuasa berkata, setakat hari ini, mereka telah mengenal pasti 10 mangsa, dengan sembilan daripadanya warga Thailand manakala seorang lagi warga Laos.

Tiada laluan keluar jelas

Premis berkenaan mempunyai pentas, dua bar dan sebuah dapur dengan kapasiti lebih 300 pengunjung, selain empat pintu keluar kecemasan, berdasarkan hantaran Facebook yang mempromosikan persembahan langsung pada bulan ini.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang sebelum itu melawat lokasi kejadian berkata, premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai restoran, manakala polis sedang meneliti rekod pemeriksaannya.

Beliau memberi jaminan bahawa mangsa dan keluarga mereka akan menerima bantuan serta penjagaan terbaik.

Anutin berkata, siasatan awal mendapati terdapat beberapa kawasan yang tidak mempunyai laluan keluar kecemasan yang jelas.

Beliau meminta orang ramai menunggu laporan siasatan, namun memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

Kebakaran itu berlaku kira-kira 11.00 malam tadi (waktu tempatan) dan polis memaklumkan api berjaya dikawal sekitar 2.00 pagi.

Pelancong Laos, Kan Kutirat berkata, beliau terdengar jeritan kuat daripada ramai orang di dalam premis sebelum keadaan bertukar menjadi kelam-kabut.

“Saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini sebelum ini. Gambaran kejadian itu masih bermain dalam fikiran saya,” katanya.

Beliau berkata, dirinya turut membantu membawa seorang wanita keluar dari bar berkenaan.

Siasatan punca kebakaran

Sebelum ini, Anutin berkata, pemuzik yang berada di premis berkenaan memaklumkan terdapat asap keluar daripada kotak suis berhampiran pentas sebelum bekalan elektrik terputus dan berlaku letupan.

“Kebanyakan mangsa berlari ke bahagian belakang, termasuk tandas yang tiada jalan keluar. Ia mungkin berlaku akibat panik apabila berdepan api dan asap,” katanya.

Ketua Jabatan Pencegahan Bencana Bangkok, Suriyachai Rawiwan berkata, pasukan kecemasan tiba dalam tempoh lima minit selepas menerima panggilan, namun api sudah merebak dengan pantas.

“Ketika kami masuk untuk mencari mangsa, kami mendapati meja dan tempat duduk menghalang laluan di merata tempat, selain keadaan terlalu panas,” katanya kepada pemberita.

Isu pematuhan peraturan keselamatan dan kesihatan, khususnya membabitkan bar serta kelab malam di Thailand, telah lama menjadi perhatian.

Pada 2022, seramai 25 maut selepas kebakaran memusnahkan kelab malam Mountain B di wilayah Chonburi, timur Thailand.- AFP