
KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian menggesa agar lebih banyak sokongan diberikan kepada keluarga yang menjaga pesakit kronik selepas menziarahi sebuah keluarga yang berdepan kesukaran kewangan akibat penyakit yang dihidapi.
Kong berkata, keluarga berkenaan kehilangan sumber pendapatan utama apabila ketua keluarga, yang dikenali sebagai Mr Chia, terpaksa berhenti kerja bagi menjaga isterinya sepenuh masa.
Menurutnya, isteri Mr Chia telah menjalani rawatan dialisis sejak 11 tahun lalu dan dua tahun lalu terpaksa menjalani pembedahan pemotongan kaki akibat komplikasi diabetes.
“Keputusan untuk berhenti kerja menyebabkan keluarga itu kehilangan punca pendapatan utama, namun mereka masih perlu menanggung kos rawatan dan perbelanjaan harian yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, keluarga itu kini bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala anak lelaki mereka membantu menanggung baki kos perubatan serta perbelanjaan isi rumah.
Katanya, anak perempuan keluarga itu turut berdepan cabaran apabila suaminya kehilangan fungsi sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya, menyebabkan beliau terpaksa bekerja bagi menyara suami serta dua anak mereka yang masih kecil.
Kong berkata, kisah keluarga tersebut menggambarkan beban emosi, fizikal dan kewangan yang besar terpaksa ditanggung oleh penjaga pesakit kronik.
“Sebagai tanda sokongan, saya mewakili pusat khidmat menyampaikan sumbangan kewangan kepada keluarga Mr Chia. Walaupun jumlah itu mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah mereka, saya berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung,” katanya.
Beliau berkata, pusat khidmatnya akan terus membantu keluarga yang menghadapi situasi serupa dan berharap masyarakat, pertubuhan kebajikan serta agensi berkaitan dapat bekerjasama dalam menyokong keluarga yang menjaga pesakit jangka panjang.
Oleh Connie Chieng


