
BINTANGOR: Tindakan pantas penduduk Kampung 1Malaysia memadamkan kebakaran rumput sebelum ketibaan pasukan bomba berjaya mengelakkan api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran dalam kejadian yang berlaku semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, sepasukan anggota bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin bersama empat anggota tiba di lokasi pada 3.17 petang selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kawasan rumput dengan anggaran keluasan kira-kira 0.01 ekar.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung yang berada di lokasi sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, berikutan api berjaya dipadamkan sepenuhnya, anggota bomba tidak perlu menjalankan operasi pemadaman.
“Pasukan bomba hanya melakukan pemantauan di kawasan terlibat bagi memastikan tiada lagi bara api atau punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
“Kerjasama dan tindakan segera penduduk dalam mengawal kebakaran pada peringkat awal amat membantu mengurangkan risiko api merebak,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran, terutama pada musim panas dan cuaca kering.
Oleh Earl Anek
