
SARIKEI: Pendedahan awal mengenai keselamatan kebakaran dalam kalangan kanak-kanak terus diperkasakan menerusi program ceramah keselamatan kebakaran melibatkan seramai 78 peserta yang diadakan di Tadika Kwang Chien.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan kanak-kanak dan guru mengenai tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran.
“Pendidikan keselamatan kebakaran perlu diterapkan sejak usia awal supaya kanak-kanak memahami langkah-langkah menyelamatkan diri dan tidak panik apabila berdepan situasi kecemasan.
“Melalui pendedahan secara teori dan praktikal, mereka dapat mempelajari tindakan yang betul bagi mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam program yang bermula dari 8.30 pagi hingga 10.00 pagi tersebut.
“Antara pengisian program ialah ceramah keselamatan kebakaran, latihan ‘berhenti, rebah dan guling’, teknik bergerak dalam keadaan dipenuhi asap dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api.
“Pendekatan berbentuk teori dan amali itu memberi peluang kepada peserta memahami prosedur keselamatan dengan lebih berkesan, selain membina keyakinan untuk bertindak dengan betul ketika kecemasan,” katanya.
Tambahnya, pihak bomba akan terus memperluaskan program pendidikan keselamatan kebakaran ke sekolah dan institusi pendidikan sebagai usaha memupuk budaya pencegahan kebakaran.
Oleh Earl Anek


