BINTANGOR: Program Derma Darah ‘Setitis Darah, Seribu Harapan’ 2026 bukan sahaja menggalakkan masyarakat membudayakan amalan menderma darah, malah membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit di hospital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, inisiatif anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei dan Pusat Khidmat DUN Meradong itu memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas inisiatif murni menganjurkan program yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi sinar harapan kepada pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, mangsa kemalangan, ibu yang bersalin dan pesakit yang sedang menjalani rawatan penyakit kronik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Derma Darah ‘Setitis Darah, Seribu Harapan’ 2026, baru-baru ini.
Katanya, komitmen warga pendidikan dan masyarakat yang tampil sebagai penderma darah mencerminkan semangat sukarelawan, keprihatinan serta budaya saling membantu yang perlu terus diperkasakan.
“Bekalan darah yang mencukupi amat penting bagi memastikan hospital dapat memberikan rawatan segera kepada pesakit yang memerlukan pada setiap masa.
“Saya berharap program seumpama ini diteruskan secara berkala bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah, di samping menggalakkan lebih ramai individu menjadi penderma darah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma, petugas kesihatan, pihak penganjur dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.
“Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah menjadi satu amal kebajikan yang amat bermakna,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, Mahathir Maldini.
Oleh Earl Anek

